KEENAKAN aroma ayam panggang itu benar-benar menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang untuk singgah dan melihat dengan lebih dekat jualan yang dilakukan seorang lelaki berusia lebih separuh abad itu. Bukan sahaja bau ayam panggangnya yang memikat, malah cara penyediaannya juga menarik perhatian kerana ayam itu dibakar dengan kaedah yang begitu unik.
Jika sebelum ini, kita sering disajikan dengan cara penyediaan ayam panggang yang dibakar sama ada di atas bara api atau di dalam ketuhar elektrik, namun ayam panggang yang disediakan oleh Sila Sutharat sangat berbeza dan menarik.
Manakan tidak, ayam panggang yang dihasilkan oleh Sutharat di pinggir jalan di Phetchaburi, Thailand dibakar secara semula jadi dengan menggunakan sinaran cahaya matahari yang dipantulkan melalui cermin. Berbeza dengan kaedah membakar ayam yang menggunakan ketuhar ataupun arang, Sutharat menggunakan 1,000 keping cermin dengan memantulkan cahaya matahari pada ayam untuk membakarnya.
Pantulan cahaya
Lebih mengagumkan, kaedah tersebut ternyata berhasil apabila ayam yang dibakar itu masak selepas dipanggang melalui pantulan cahaya matahari pada suhu 300 darjah Celsius. Sama seperti kebanyakan peniaga ayam panggang yang lain, Sutharat pada mulanya turut menggunakan kaedah membakar ayam dengan menggunakan arang.
Bagaimanapun, dia mendapat ilham untuk memanggang ayam menggunakan pantulan cahaya matahari melalui cermin pada tahun 1997. Menurut Sutharat, dia mendapat idea untuk memanggang ayam dengan kaedah tersebut selepas berlaku satu insiden yang tidak sengaja ke atas dirinya.
“Satu hari, saya telah terkena pantulan cahaya matahari selepas sebuah bas melintasi saya. “Pantulan cahaya matahari melalui cermin bas itu sungguh panas sehingga menyebabkan kulit saya berasa seperti terbakar,” ujar Sutharat.
Kejadian itu sekali gus memberikan idea kepadanya untuk memanfaatkan kejadian pantulan itu kepada sesuatu yang berguna. Idea untuk memanggang ayam dengan cermin bagaimanapun telah menyebabkan Sutharat digelar orang gila orang rakan-rakannya. “Mereka mentertawakan saya apabila mendapat tahu saya akan membakar ayam dengan menggunakan cermin,” jelas Sutharat kepada agensi berita AFP.
Menurut Sutharat, rakan-rakannya menganggap dia cuma melakukan perbuatan sia-sia dan mustahil untuk membakar ayam dengan menggunakan pantulan cahaya matahari melalui cermin.



Ejekan dan cemuhan rakan-rakannya tidak melemahkan impian Sutharat sehinggalah usahanya berhasil, malah mendapat perhatian masyarakat setempat untuk merasai keenakan ayam yang dibakar melalui pantulan cahaya matahari itu.
Melalui teknik itu, Sutharat menggunakan 1,000 keping cermin kecil yang direka khas dan boleh dilaraskan. Cermin-cermin itu pula disusun pada panel setinggi dua meter dan dipantulkan tepat ke arah ayam yang telah siap disusun di atas tempat pemanggang. “Untuk memanggang seekor ayam seberat 1.5 kilogram hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit sahaja,” kata Sutharat.
Dalam pada itu, Sutharat mendakwa, kaedah memanggang ayam dengan menggunakan pantulan cahaya matahari melalui cermin boleh mencapai suhu maksimum sehingga 312 darjah Celsius. Sebagai langkah keselamatan, Sutharat akan memakai topeng mengimpal, topi dan sarung tangan semasa memanggang ayam kerana terdedah kepada suhu panas. “Anda patut mencuba sendiri memanggang ayam menggunakan cermin,” ujar Sutharat dengan mempelawa peniaga lain untuk mencuba kaedah yang dia lakukan.
Tidak mustahil apabila ayam panggang yang disediakan oleh Sutharat begitu popular, bukan hanya kerana rasanya yang enak, tetapi cara penyediaannya turut mencuri tumpuan. Selepas 20 tahun melakukan kaedah tersebut, Sutharat mendakwa ayam panggang yang dihasilkannya lebih sedap dan 100 peratus bersih berbanding cara tradisional yang menggunakan arang.
Sutharat turut dianugerahkan gelaran Sains Kehormat oleh Universiti Phetchaburi Rajabhat kerana berjaya mencipta inovasi dalam kaedah membakar ayam dengan menggunakan unsur semula jadi. – Agensi