LOS ANGELES, 13 Julai – Satu panggilan ancaman bom diterima Universiti California Los Angeles (UCLA) pada Rabu malam, menyebabkan penghuni asrama di kampus universiti berkenaan terpaksa dipindahkan, lapor agensi berita China Xinhua.
Gambar lokasi kejadian menunjukkan ribuan penghuni dipindahkan selepas bom dikatakan diletakkan di Stadium Drake, terletak di Pusat Rekreasi Sunset yang sering digunakan pasukan bola sepak dan olahraga UCLA.
UCLA menerusi twitternya berkata “Ancaman bom di Pusat Rekreasi Sunset. Penghuni diminta berada di dalam kediaman masing-masing kecuali jika diarahkan berpindah. Elakkan kawasan berkenaan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan”.
Ia adalah amaran kecemasan pertama dimuat naik UCLA selepas pukul 10 malam waktu tempatan pada Rabu.
Anggota polis bersama dengan empat anjing pengesan bom menjalankan pemeriksaan di lokasi namun tiada sebarang bahan letupan ditemui.
Sehubungan itu, pada pukul 12.21 pagi waktu tempatan (Khamis) sistem pemberitahuan kecemasan kampus mengumumkan siasatan di lokasi kejadian dihentikan dan keadaan adalah selamat tanpa sebarang kecederaan dilaporkan. – Bernama