Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panggilan bocor: PM Thailand didesak letak jawatan

    BANGKOK, 19 JUN – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk meletak jawatan kelmarin, selepas rakaman perbualan telefon beliau dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, terbocor, mencetuskan kemarahan meluas serta menyebabkan rakan gabungan utama menarik diri.

    Parti konservatif Bhumjaithai, rakan gabungan terbesar Pheu Thai, telah menarik diri kelmarin dan menyifatkan tindakan Paetongtarn dalam panggilan telefon yang bocor itu telah mencemarkan maruah negara dan angkatan tentera.

    Kehilangan sokongan seramai 69 ahli parlimen Bhumjaithai menyebabkan Paetongtarn mendapat peluang rendah di parlimen.

    Pilihan raya mengejut itu kini dilihat sebagai satu kemungkinan besar iaitu kurang dua tahun selepas pilihan raya terakhir pada Mei 2023.

    Dua lagi parti gabungan, United Thai Nation dan Parti Demokrat, dijangka mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan situasi tersebut.

    Kehilangan salah satu daripada mereka kemungkinan besar menamatkan pemerintahan Paetongtarn, yang boleh membawa kepada pilihan raya baharu atau percubaan parti-parti lain untuk membentuk gabungan kerajaan baharu.

    Parti Palang Pracharath, yang pernah mengetuai kerajaan sehingga 2023 dan dipimpin oleh Jeneral Prawit Wongsuwan, seorang tokoh yang menyokong rampasan kuasa terhadap ibu saudara Paetongtarn, Yingluck turut menggesa beliau meletak jawatan.

    Dalam kenyataan rasmi, parti itu menyatakan rakaman yang bocor menunjukkan Paetongtarn lemah dan tidak berpengalaman, serta tidak mampu mengendalikan keselamatan negara. – AFP

    Paetongtarn Shinawatra (tengah) bercakap pada sidang media di Rumah Kerajaan di Bangkok pada 19 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda