Panggilan gangguan ular paling banyak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataannya hari ini menyatakan telah menerima sebanyak 513 panggilan kecemasan iaitu sebanyak 370 panggilan di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong (48), Daerah Belait (82) dan Daerah Temburong 13 panggilan yang diperolehi daripada statistik insiden panggilan kecemasan bagi Julai tahun ini.

Menurut kenyataan itu lagi, antara panggilan kecemasan yang sering diterima ialah insiden gangguan haiwan liar (ular) sebanyak 206 panggilan, kebakaran hutan dan belukar (62), kebakaran bangunan dan rumah (3), kemalangan kereta dan lalu lintas (3), kebakaran kereta (11) serta menyelamatkan haiwan (kucing dan anjing) sebanyak 22 panggilan.

Statistik kebakaran hutan dan belukar juga menunjukkan peningkatan pada Julai akibat cuaca yang tidak menentu dan kering dengan sebanyak 62 panggilan melibatkan kawasan seluas 38.03 hektar.

Dalam kenyataan itu, JBP menjelaskan bahawa antara punca kebakaran bangunan dan rumah yang telah disiasat oleh Bahagian Penyiasat JBP ialah penggunaan lebih beban sistem elektrik, bara yang ditinggalkan, api perunan yang ditinggalkan, gas bocor, masakan yang ditinggalkan, bateri vape, kanak-kanak yang dibiarkan bermain pemetik api atau mancis, api puntung rokok, lingkaran ubat nyamuk, perbuatan meragukan dengan niat yang jahat dan bahang panas matahari.

Manakala itu, kategori punca kebakaran kenderaan pula adalah disebabkan masalah elektrik dalam enjin kenderaan seperti kerosakan komponen sistem elektrik dalam enjin; kerosakan bahagian sistem pendawaian, kerosakan bahagian ABS dan kerosakan kotak fius dalam enjin; masalah mekanikal seperti kerosakan komponen mekanikal; kebocoran hos minyak atau saluran dalam komponen kenderaan dan penyambungan yang longgar; kebakaran dipercayai meragukan iaitu tindakan pembakaran yang disengajakan; kepanasan yang berlebihan yang menyebabkan sistem penyejuk gagal berfungsi di mana ia akan mengakibatkan kebakaran selain kegagalan brek dan bering.

JBP menyatakan bahawa antara punca utama berlakunya kebakaran kenderaan ialah kecacatan dari kilang pembekal, kurang penyelenggaraan kenderaan dan kesalahan serta kecuaian manusia seperti kurang pengetahuan dalam pemilihan alat ganti komponen kereta dan membiarkan enjin kenderaan dalam keadaan hidup.

Sehubungan dengan itu, JBP menekankan kepada orang ramai supaya akan menghubungi terus Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat jika berlaku sebarang insiden kecemasan ataupun melalui Talian Darussalam 123.

Orang ramai juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih Safety Guide sebagai panduan asas kecemasan dan keselamatan awam yang disediakan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.