Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panggilan palsu boleh tentukan nasib mangsa sebenar

    KOTA BHARU, 21 JULAI – Deringan loceng memecah kesunyian malam, mengubah suasana di balai bomba itu yang sepi tiba-tiba hingar dengan bunyi hentakan kasut-kasut but anggotanya yang bergegas untuk bersiap.

    Topi keselamatan disarungkan ke kepala dan tali pinggang keselamatan diketatkan sebelum siren jentera merah berbunyi, lampu biru dan merah menyala secara bergilir dan jentera terus memecut meninggalkan balai.    

    Menuju ke alamat yang diberikan semasa panggilan cemas, jentera merah terus menderu laju. Ketika itu, masa adalah segala-galanya kerana di sebalik kerakusan api menjilat rumah, mungkin di dalamnya ada nyawa sedang bertarung untuk terus hidup.   

    Destinasi semakin hampir, namun pelik dirasakan anggota kerana tiada kelihatan warna jingga menjulang ke langit, ataupun riuh-rendah penduduk cuba membantu mangsa.  Segalanya sunyi, tanpa asap ataupun api. Panggilan palsu rupanya.Si pemanggil mungkin sedang ketawa kerana berjaya ‘mengenakan’ pasukan keselamatan yang sedang kecewa.

    Nampak remeh, namun bagi anggota bomba, masa yang terbuang itu ialah garis pemisah antara hidup dan mati mangsa lain yang mungkin benar-benar mengalami kecemasan. 

    Bagi segelintir individu, talian kecemasan bukan sekadar untuk melaporkan tragedi, tetapi saluran mereka meluahkan perasaan sedih, patah hati dan lain-lain – mungkin  menganggap rasa terdesak mereka untuk bercakap dengan seseorang itu juga satu bentuk ‘kecemasan’ yang perlu dikendalikan oleh pasukan penyelamat.

    Berkongsi kisah yang kerap berlaku sebelum kewujudan talian Pusat Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 tersebut,  Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata pada ketika itu semua panggilan kecemasan menggunakan nombor 994 terus disambung ke balai bomba. 

    “Mereka hubungi kami bukan sebab api (kebakaran) atau kemalangan. Ada yang putus cinta, ada yang kesunyian, kadangkala cuma dengar bunyi nafas dan ada juga pemanggil yang hanya mendiamkan diri, macam minta ‘ditemani’ untuk seketika. Mereka mungkin rasa perbuatan itu tidak salah, tetapi bagi kami, panggilan tersebut tetap panggilan palsu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan dalam temu ramah.- Bernama

    Menurutnya, panggilan sedemikian bukan hanya melengahkan tugas menyelamat sekiranya berlaku kes kecemasan sebenar, tetapi turut membawa impak kewangan kepada JBPM yang perlu membayar sendiri bil telefon.

    Menyentuh panggilan kecemasan palsu yang menyaksikan anggota JBPM bergegas ke lokasi namun tragedi yang dilaporkan tidak wujud, Farhan Sufyan berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu berisiko menyebabkan kes kecemasan sebenar tidak menerima bantuan tepat pada masa. 

    “Harga yang mungkin perlu dibayar akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini ialah keselamatan dan nyawa orang lain. Kalian bergurau, tapi bagi kami ia satu gurauan yang mahal harganya dan sangat berbahaya,” tegasnya.

    Kemajuan teknologi kini memberi kelegaan kepada pasukan penyelamat termasuk JBPM, namun tidak menghapuskan sepenuhnya risiko panggilan palsu. Talian MERS 999 yang diperkenalkan pada 2001, menggabungkan kesemua nombor kecemasan yang ada di Malaysia iaitu 991, 994 dan 999 yang melibatkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, JBPM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. 

    Menerusi talian MERS 999, setiap panggilan kecemasan disaring terlebih dahulu dengan nama, lokasi dan maklumat pemanggil direkodkan. Bagi kecemasan melibatkan JBPM, balai bomba terdekat akan menerima ‘call sheet’ pada masa nyata, iaitu ketika pemanggil masih di talian bercakap dengan operator.

    Anggota bomba semasa memadam kebakaran. – Gambar fail Bernama.

    Ulas Farhan Sufyan, sistem itu amat membantu mereka, namun masih ada maklumat tambahan yang diperlukan bagi memastikan strategi menyelamat dapat disusun sebaik mungkin.

    “Kalau kebakaran, kami kena tahu kebakaran jenis apa, jumlah mangsa yang terlibat dan lain-lain,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata maklumat tepat amat diperlukan daripada pemanggil.

    Farhan Sufyan menarik nafas panjang sebelum berkongsi kisah yang masih menghantuinya hingga kini. Di Sabah, seorang pemanggil menelefon dalam keadaan panik. Suaranya tergesa-gesa, nafas tercungap-cungap tetapi alamat yang diberi tidak lengkap. Komander operasi cuba bertanya lebih banyak, mencari nama lorong atau tanda bangunan. Ketika itu, Farhan Sufyan bertugas sebagai Timbalan Pengarah JBPM Sabah.

    “Di tempat kejadian, api semakin marak. Akhirnya, tiga mangsa rentung. Bukan kerana terkurung di dalam rumah berjeriji, tapi kerana kami lambat dapat lokasi yang tepat. Saat-saat itulah yang membezakan nyawa diselamatkan atau terkorban,” kongsinya.

    Berlaku pada 31 Julai tahun lepas, akibat kegagalan memberikan alamat lengkap, tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun rentung, manakala tiga lagi dilaporkan cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Blok 5, Pitas, Kota Marudu.

    “Dalam kecemasan, maklumat itulah yang menjadi denyut pertama kepada usaha menyelamatkan nyawa,” tambah Farhan Sufyan. Menurutnya, pada 2024, JBPM Kelantan merekodkan 6,099 panggilan dengan tujuh panggilan palsu; pada 2023 sebanyak 4,480 (tujuh panggilan palsu) dan 2022 merekodkan 4,213 panggilan dengan dua panggilan palsu. Sepintas lalu, jumlah panggilan palsu yang direkodkan itu kecil, namun di lapangan, satu panggilan sahaja sudah cukup untuk menjejaskan operasi menyelamat, katanya. 

    Pesalah yang membuat panggilan palsu boleh didenda atau dipenjara. – Gambar Unsplash

    Mengulas lanjut, Farhan Sufyan berkata JBPM akan membuat laporan polis setiap kali menerima panggilan palsu. Pesalah yang membuat panggilan palsu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    “Ini bukan soal nak balas dendam, tetapi untuk mengelakkan perkara sama berulang,” jelasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda