Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Berikutan siasatan lebih lanjut, TelBru ingin berkongsi dengan para pelanggannya beberapa tindak balas yang diperoleh daripada mangsa yang telah menerima panggilan penipuan.
Menurut kenyataan TelBru, panggilan itu termasuk nombor awal yang biasanya dibuat oleh si pemanggil memaparkan empat digit bermula dengan 65xx.
Di samping itu, pemanggil juga mendakwa dirinya dari Teknikal Microsoft Windows dan meminta untuk melakukan pengubahsuaian yang mencurigakan di dalam komputer riba pelanggan dan berkomunikasi dalam bahasa asing.
Dalam kenyataan itu juga, TelBru sekali lagi mengingatkan para pelanggannya terutama mereka yang mempunyai Caller ID supaya menghindari menjawab panggilan daripada nombor-nombor tersebut.
TelBru juga menekankan bahawa ia tidak pernah membenarkan mana-mana kakitangannya untuk meminta maklumat perbankan atau kewangan pelanggannya melalui panggilan telefon kerana ia bertentangan dengan dasar syarikat.