ROM – Selepas satu perjalanan selama 11 bulan meredah padang pasir dan lautan, Mohamed akhirnya dapat mendengar suara ibunya sekali lagi melalui khidmat bergerak Palang Merah yang telah mengembara merentasi Itali untuk membantu pendatang membuat panggilan ke kampung halaman mereka.
Dari melintasi sempadan Ventimiglia, negara yang berada di utara sehinggalah ke pulau selatan Lempedusa, khidmat bergerak van putih ini telah menawarkan kepada ratusan pendatang-pendatang yang baru tiba untuk membuat panggilan selama tiga minit kepada ahli keluarga terdekat mereka dan juga yang tersayang.
Hentian terakhir adalah di bandar Rom, di mana mereka membuat perhentian sementara Isnin lalu di hadapan khemah kem Palang Merah yang menempatkan sehingga 200 orang (mereka yang berjaya diselamatkan di laut Mediterranean menggunakan kapal tidak layak belayar) sebelum dihantar ke pusat penerimaan.
Mohamed, 27, seorang warganegara Senegal mengambil tempat di salah satu meja yang disediakan oleh sukaralewan bersama-sama dengan pendatang yang lain seperti dari Bangladesh, Eritrea, Pakistan dan Afrika Barat yang memenuhi kawasan itu. Sebahagian daripada mereka tidak dapat menggunakannya atau cuba nasib.
Ia boleh mengambil masa: kadang-kadang nombor yang dihubungi tidak berfungsi atau masalah rangkaian. Tetapi selalunya, seorang ibu, abang atau jiran tetangga berjaya menjawab panggilan mereka itu walaupun berada dalam jarak yang jauh.


“Saya tidak bercakap dengan ibu saya selama lima bulan, saya mendengar suara beliau dan ia seperti satu tamparan di hati saya, satu tamparan kegilaan. Saya begitu gembira,” kata Mohamed memberitahu AFP dengan senyuman lebar.
Dia meninggalkan rumahnya pada bulan April 2016, melintasi padang pasir Sahara, pernah menjadi tebusan di Libya, sebelum berjaya melarikan diri ke laut dan telah diselamatkan oleh sebuah kapal Norway yang beroperasi di bawah agensi sempadan Eropah, Frontex.
Beliau telah dibawa ke Sicily Ahad lalu, dan kemudian dibawa ke ibu negara semalaman dan diberikan sebuah katil di kem Palang Merah. Mohamed menggunakan tiga minit beliau sebaik-baiknya, dan beliau berterima kasih kepada kakaknya yang memberinya duit untuk perjalanan itu.
Beliau juga segera memberikan amaran kepada kawan-kawannya: “Jangan sekali-kali cuba dengan apa yang saya lakukan ini. Saya telah mempertaruhkan nyawa saya.”
Ia bukanlah kali pertama pihak sukarelawan Palang Merah melihat atau mendengar pendatang memberi amaran buat orang yang tersayang. Beberapa minggu lalu di Pozzallo, Sicily, seorang wanita dari Ivory Coast juga menggunakan panggilan telefon meminta ibunya agar anak-anak dara muda untuk tidak membuat perjalanan.
“Libya adalah seperti neraka,” katanya yang teresak-esak mengikut Palang Merah, menggambarkan bagaimana dia telah dirogol oleh lelaki yang telah menahannya disana.
“Pemikiran saya berada di kampung, emak, hanya badan saya bersama lelaki-lelaki tersebut,” beliau dipetik sebagai berkata. Panggilan telefon boleh menjadi sukar apabila pendatang mengetahui orang rumah telah meninggal dunia.


Lain-lain kejadiaan adalah detik-detik kegembiraan, seperti kisah seorang lelaki dari Mali akhirnya berjaya membuat panggilan telefon kepada isterinya dimana beliau telah diberitahu isterinya selamat melahirkan anak lelaki mereka.
Menurut pengurus projek Francesco Montrone, sejak pertengahan Januari, mereka telah mengawasi lebih 1,500 panggilan, 60 peratus daripadanya berjaya dihubungi.
“Suasana di pusat perkemahan berubah serta merta apabila pendatang berjaya membuat panggilan. Mereka rasa tenang, dan keadaan sekeliling juga turut aman,” kata Montrone.
Projek ini telah dilancarkan pada tahun lalu di Belanda oleh Yayasan Vodafone yang membiayai pekhemah dan membayar segala panggilan tersebut. Unit itu, yang telah menghabiskan masa selama dua bulan atas pinjaman kepada Palang Merah Itali, kini akan dikembalikan untuk pusat penerimaan Belanda, tetapi Montrone berharap ia tidak akan menjadi yang terakhir buat Itali untuk melihat panggilan psikologi ini.
Pusat penerimaan harus memenuhi permintaan pendatang dengan kad telefon, namun bagi yang masih menunggu untuk dipindahkan dari kem responder pertama tidak akan menerima keistimewaan ini, dan begitu juga bagi sesiapa tinggal di kawasan penempatan yang tidak formal di sempadan.
Seorang remaja dari Nigeria duduk malu di salah satu meja, menggigil dalam pakaian usang beliau. Para sukarelawan telah ditugaskan untuk menjaga beliau dan mendapatkan sesuatu untuk memanaskan badannya sebelum menolong beliau untuk mendapatkan panggilan bapanya.
Di meja lainnya, seorang warga Pakistan yang tiba minggu lepas meyakinkan adik beradiknya bahawa beliau berada dalam keadaan yang baik sehingga jam penggera berbunyi: tiga minit sudah tamat. – AFP