Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panglima Tertinggi Thailand lawat Tutong

    Oleh James Kon –

    TUTONG, 19 OGOS – Panglima Tertinggi Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Adoong Pan-Iam, yang sedang dalam lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam, hari ini telah mengadakan lawatan yang membuahkan hasil di Daerah Tutong.

    Mengiringi Laksamana Adoong Pan-Iam ialah isterinya Kirata Pan-Iam serta delegasi lebih daripada 20 anggota dari Tentera Laut Diraja Thailand.

    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapten Khairil bin Haji Abdul Rahman dan isteri.

    Lawatan itu bermula di bangunan lama Pejabat Daerah di mana pengunjung Thailand menyaksikan demonstrasi pembuatan kuih tradisional penyaram. Demonstrasi telah dikendalikan oleh Hajah Tinong binti Haji Salanda.

    Terdapat juga produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dipamerkan, dan dijelaskan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai.

    Sebelum bertolak, para pengunjung sempat bergambar ramai di Tanda Kenangan Tutong, dan lawatan seterusnya bergerak ke Galeri Lakaba Jaya, Kampung Sengkarai.

    Hajah Sauyah binti Haji Mahmud, yang menubuhkan Galeri Lakaba Jaya pada tahun 1997, telah mengadakan demonstrasi mengenai decoupage, seni memotong dan menampal potongan kertas bercetak.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz mengulas, “Lawatan sebegini boleh membantu meningkatkan pendapatan 1K1P dari Tutong. Saya berharap kunjungan bukan sahaja dari luar negara malah masyarakat tempatan juga boleh melawat 1K1P untuk menyokong usahawan kitani.”

    Beliau juga berharap agensi pelancongan tempatan juga dapat membawa pelancong melawat destinasi 1K1P Daerah Tutong bagi membantu menjadikan destinasi tersebut tempat tumpuan untuk dikunjungi pelancong.

    Laksamana Adoong Pan-Iam, berada di negara ini sehingga esok (20 Ogos).

    Laksamana Adoong Pan-Lam, dan isteri, Kirata Pan-Lam semasa lawatan ke Daerah Tutong. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda