ROM, 17 JULAI — Sebahagian sayap sebuah bangunan pangsapuri tiga tingkat runtuh kelmarin di pinggir laut Naples, dan tiga orang ditarik keluar hidup-hidup dari runtuhan tersebut, kata pihak berkuasa Itali.
“Setakat ini, tiada tanda-tanda orang hilang,” kata Luca Cari, jurucakap pasukan bomba kebangsaan Itali, mengenai keruntuhan bangunan di Torre del Greco, sebuah bandar 12 kilometer dari Naples.
Anggota bomba pada mulanya berkata mereka menarik keluar dua mangsa yang terselamat. Kemudian seorang pegawai kementerian dalam negeri mengesahkan laporan media Itali bahawa mangsa ketiga yang masih hidup telah diselamatkan.
Pegawai tempatan memberitahu wartawan di tempat kejadian bahawa semua orang telah ditemui.
“Ia satu keajaiban, benar-benar satu keajaiban,’’ kata Datuk Bandar Torre del Greco, Luigi Mennella kepada TV kerajaan. Kira-kira 23 orang tinggal di bangunan itu dan bandar itu sedang berusaha untuk mencari tempat tinggal sementara bagi penduduk tersebut dan kira-kira 20 orang lain yang tinggal di bangunan bersebelahan,
katanya.
Antara mereka yang diselamatkan hidup-hidup dari timbunan runtuhan ialah pemilik kedai pizza di bawah blok itu yang kebetulan berada di hadapan bangunan itu apabila ia runtuh, kata TV kerajaan, Rai.
Mangsa-mangsa yang terselamat sedang dirawat di hospital kerana patah tulang, kata Rai.
Punca kejadian bangunan runtuh yang dipercayai berusia kira-kira 200 tahun itu masih dalam siasatan. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P2-2A-web-AP_18072023.jpg)