Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat (JMMM) petang tadi telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 di Surau Bangunan Dewan Majlis, JMMM.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Turut hadir ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Diraja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah dan ahli-ahli MMN.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Khas sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang dipimpin oleh Pegawai Pemantau Daerah Brunei dan Muara Zon 1, Awang Saufi bin Haji Suhaini.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardu Asar berjemaah.
Majlis ini diadakan sebagai melahirkan rasa kesyukuran di atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, serta memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, semoga Baginda Sultan akan sentiasa dilimpahkan rahmat, dikurniakan kesihatan berpanjangan dan dilanjutkan usia serta kekal karar memerintah atas singgahsana.
Semoga Baginda Sultan serta kerabat diraja sentiasa dikurniakan taufik, hidayah dan inayah daripada Allah SWT.