Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersama jabatan-jabatan di bawahnya serta warga persatuan, pergerakan dan kelab kesenian; penerima-penerima anugerah, kebudayaan, sejarah, bahasa, perpustakaan dan kesusasteraan; serta orang ramai petang tadi menyertai Majlis Solat Sunat Hajat Berjemaah dan Doa Khas bagi memohon kesihatan serta kesejahteraan untuk raja yang amat dikasihi.
Majlis yang penuh keberkatan itu diadakan di Masjid As-Salihin, Jabatan Perdana Menteri, dan diteruskan dengan solat Fardu Asar secara berjemaah. Majlis dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Penyertaan dalam majlis berkenaan mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan dalam menyatupadukan rakyat dalam mengungkapkan rasa kasih dan keprihatinan terhadap raja.
Majlis seumpama ini juga menjadi manifestasi kesatuan dan doa ikhlas rakyat semoga dikabulkan oleh Allah SWT menjadi sumber keberkatan, keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan buat raja dan negara.
