Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Bahyiah Bakir
TUTONG, 7 JULAI – Ucapan junjung kasih dan penghargaan setinggi-tingginya telah disuarakan oleh para pe-nerima penganugerahan penggeranan tanah lesen tumpang sementara (LTS) dan anak-anak kunci rumah bagi Skim Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang di Mukim Telisai dan Skim Penggeranan Tanah LTS, hari ini.
Salah seorang penerima anak kunci rumah Skim RPN Bukit Beruang, Awang Mohammad Khairi bin Haji Mahadi berkata, beliau telah memohon skim perumahan berkenaan sejak 2011 lagi.
“Kami telah dianugerahkan rumah teres ini pada 24 Jun tahun lalu tetapi masih belum berpindah sepenuhnya,” ujarnya yang rumahnya di Jalan Paya Namurai telah dipilih bagi lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selepas majlis penganugerahan.
Awang Mohammad Khairi mengongsikan bahawa beliau dan lima sekeluarga bersyukur dan bertuah kerana akhirnya mempunyai rumah sendiri untuk didiami selepas tinggal bersama keluarga mertua di Kampung Rimba.
Haji Mohammad Hamdi Azizi bin Haji Yahya yang juga tinggal di Jalan Paya Namurai, RPN Bukit Beruang pula mengongsikan bahawa beliau telah memohon perumahan sejak 2009 untuk Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) di Daerah Brunei dan Muara dan telah menunggu selama tujuh tahun sebelum mendengar berita bahawa perumahan STKRJ tidak akan dianugerahkan lagi.


“Pada 2016, saya telah memohon ke Jabatan Kemajuan Perumahan Brunei dan Muara untuk memindah permohonan saya bagi RPN Daerah Tutong dengan hasrat untuk mempercepatkan proses memiliki rumah sendiri.
“Alhamdulillah setelah kurang lebih lima tahun memohon, pada Jun 2021 saya telah dihubungi oleh pihak Jabatan Kemajuan Perumahan bahawa saya telah dianugerahkan rumah teres di bawah RPN Bukit Beruang, Tutong,” jelas beliau.
Sementara itu, Awang Mohd Suffian bin Haji Suhaili, berumur 54 tahun dan telah bersara, yang mewakili isterinya Dayang Haryani binti Haji Yahaya berkata bahawa mereka sebelum ini tinggal di rumah mertuanya bersama seorang anak di Kampung Lambak sebelum menerima rumah baharu.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah mendapatkan rumah sendiri. Insya-Allah dengan adanya rumah sendiri ini, ianya boleh meningkatkan kualiti hidup kami sekeluarga. Barangan sekarang sudah mahal dan pengurniaan ini sedikit sebanyak telah menolong,” kata Awang Mohd Suffian.
Penerima Skim Penggeranan Tanah LTS di Jalan Maulana, Kuala Belait, Chhoo Kui Chung turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana dianugerahkan tanah tersebut di mana beliau tinggal di rumah yang dibina bersama anak-anaknya.
Seorang lagi penerima Skim Penggeranan Tanah LTS, Pengiran Mahmud bin Pengiran Bungsu, 66, di Kampung Kandang, berkata bahawa beliau telah mendiami tanah tersebut lebih 20 tahun dan telah menerima bantuan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan); Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk anak istimewanya, dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) untuk dirinya sendiri.
“Hamba benar-benar berasa terharu di atas sumbangan daripada pihak Yayasan dan jabatan-jabatan lain yang bertungkus-lumus memberi bantuan kepada kami sekeluarga,” tambah Pengiran Mahmud.
Penduduk Kampung Kuala Tutong, Awang Nasrul Arwadi bin Haji Nekman, 43 tahun, juga adalah antara yang dianugerahkan Skim Penggeranan Tanah LTS pada hari ini.
Beliau menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana telah dianugerahkan geran tanah dan berasa gembira setelah penantian yang lama.
“Rumah ini pada asalnya dibina pada akhir tahun 90an, dan pada 2000 atau 2001 saya telah memohonkan untuk penggeranan, jadi mendiaminya secara rasmi setelah berkahwin pada 2005,” katanya.
“Alhamdulillah dengan adanya geran tanah ini kami merasa berbangga dan bertuah kerana tanah itu sudah menjadi seperti milik kami,” kongsi Awang Nasrul Arwadi.

