Friday, May 2, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panjat syukur bakal jadi tetamu Allah

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap bakal jemaah Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 1446H/2025M apabila diberi peluang untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini.
     
    Di samping itu ucapan menjunjung kasih turut dirafakkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan pakaian ihram dan telekung sebagai kurnia peribadi Baginda kepada bakal-bakal jemaah haji lelaki dan juga perempuan.
     
    Ini antara rata-rata ayat-ayat yang diucapkan oleh bakal jemaah haji negara semasa ditemu bual pada Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di istana Nurul Iman, hari ini.
     
    Dalam temu bual media bersama Awang Azmi Rajap yang berasal dari Kuala Belait yang menunaikan ibadah haji bersama isteri dan dua orang anaknya telah berkongsi perasaan mereka apabila terpilih dan bersyukur menjadi jemaah haji bagi musim ini.
     
    Beliau seterusnya mengongsikan yang mana mereka mula dijadualkan untuk menunaikan haji pada tahun 2024 tetapi ditunda kepada tahun 2026 atas sebab-sebab tertentu.
     
    Awang Mohamad Jais teruja menjadi tetamu Allah setelah lima tahun menanti. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Awang Azmi Rajap bergambar bersama keluarga beliau semasa ditemu bual. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    “Tapi kami merasa bersyukur apabila menerima panggilan daripada pihak urusan haji memaklumkan terpilih untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini,” jelasnya. 
     
    Katanya, “Sebaik saja menerima panggilan itu, sudah pasti pelbagai persiapan diri telah dibuat, dan merasa bersyukur juga kerana kerajaan Baginda telah menyediakan kursus haji kepada semua bakal-bakal jemaah haji.
     
    “Di samping itu, taklimat kesihatan dan taklimat daripada Darussalam Services Sdn Bhd juga diberikan sebagai panduan semasa kami berada di tanah suci nanti,” tambahnya
     
    Manakala Awang Mohamad Jais bin Tarip, 63, dari Lumut yang akan menunaikan ibadah haji bersama isteri beliau ketika ditemui, menjelaskan peluang ini amat dinanti-nantikan sejak tahun 2020.
     
    Beliau yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun 2020 tapi disebabkan COVID-19, ia ditunda kepada tahun 2026, tapi terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak urusan haji yang memaklumkan beliau terpilih untuk menjadi tetamu Allah SWT pada musim haji tahun ini.
     
    Selain berkongsi, inilah yang ditunggu-tunggu dan diharapkan yang akhirnya menjadi kenyataan.
     
    Penerbangan pertama bakal jemaah haji negara akan berlepas meninggalkan negara pada 15 Mei depan pada pukul 10 pagi.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda