Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panjat syukur jadi tetamu Allah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Sebagai seorang Muslim, kita perlu mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam secara total. Ibadat haji merupakan Rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

    Seperti lazimnya pada setiap kali musim haji, para bakal jemaah haji di negara ini akan menghadiri Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman.

    Salah seorang bakal jemaah haji yang ditemui pada majlis tersebut, Awang Mohammad bin Ali menzahirkan perasaan syukur dan terharu kerana terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini tambahan lagi dengan adanya tambang kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Menyentuh mengenai persiapannya menjalani ibadah haji, beliau mengongsikan antara persiapan yang dilakukannya termasuklah dengan mengikuti kursus-kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Urusan Haji khususnya bagi mempersiapkan ilmu berkenaan ibadah haji, mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental, serta membuat persiapan keperluan bagi diri sendiri dan tanggungan.

    Seterusnya, beliau berharap semoga ibadah haji yang akan dilaksanakan nanti akan berjalan dengan lancar dan mendapat haji yang mabrur.

    Awang Azman bersama isteri dan keluarganya yang bakal mengerjakan ibadah fardu haji pada Jun ini.
    Awang Mohammad (kiri) bersama rakan-rakannya yang bakal menunaikan ibadah haji buat kali pertama.
    Dayang Jorrani dan ayahnya, Haji Zainal semasa ditemui pihak Media Permata.
    Haji Shamsul Baharin semasa ditemui oleh pihak media di Istana Nurul Iman.

    Sementara itu, bagi Awang Azman bin Abdul Talib yang akan menunaikan ibadah fardu haji bersama empat orang ahli keluarganya, juga berkesempatan menzahirkan rasa kesyukuran kerana terpilih bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun ini bersama-sama ahli keluarganya.

    “Saya merasa cukup bersyukur kerana telah diberikan peluang keemasan ini lebih-lebih lagi dapat mengerjakan ibadah haji bersama isteri dan ahli keluarga saya pada kali ini.

    “Ia merupakan kali pertama kami dapat mengerjakan Rukun Islam kelima ini bersama-sama meskipun pernah pergi ke Baitullah bersama-sama bagi mengerjakan ibadah umrah sebelum ini.

    “Dengan mengerjakan ibadah bersama-sama keluarga, kami berharap ia dapat memudahkan lagi urusan ibadah haji kami di mana kami boleh saling bantu-membantu semasa berada di tanah suci nanti,” tambah Awang Azman.

    Pantang menyerah kalah, Dayang Jorrani binti Haji Zainal yang bakal menunaikan ibadah haji bersama ayah tercintanya, Haji Zainal Taha tidak dapat menyembunyikan rasa teruja setelah mereka akhirnya terpilih ke tanah suci kali ini selepas beberapa kali terpaksa menunda hasrat mereka.

    “Saya berasa begitu teruja apabila permohonan yang kami buat sejak lebih lima tahun lalu akhirnya akan dapat direalisasikan.

    “Meskipun kami sebenarnya dapat mengerjakan ibadah ini pada tahun 2020 namun memandangkan pada ketika itu pandemik COVID-19 melanda dunia, kami belum lagi dapat mengerjakannya.

    “Kemudian, pada tahun lalu kami sekali lagi berpeluang untuk mengerjakan haji namun usia ayah saya yang hampir menginjak 80 tahun adalah melebihi had umur jemaah haji yang telah diperuntukkan di sana. Jadi, kami terpaksa menangguhkan hasrat kami sekali lagi.

    “Kali ini, tiada lagi sekatan umur dan saya begitu bersyukur kerana dapat menjalani ibadah haji bersama ayah saya,” tekannya.

    Sementara itu, bagi Haji Zainal yang bakal menemani anak perempuannya menunaikan ibadah haji buat kali pertama, beliau telah mempersiapkan diri dengan sentiasa memastikan kesihatannya terjaga dan tahap staminanya dalam keadaan yang baik melalui senaman ringan seperti berjalan kaki.

    “Haji pertama saya adalah pada tahun 1988, dan ini merupakan haji saya yang kedua. Saya berasa begitu gembira kerana diberikan peluang ini dan mengharapkan haji yang mabrur,” jelasnya.

    Pada majlis mengadap dan junjung ziarah berkenaan, Pengarah Urusan Al-Hijrah Travel & Tours, Haji Shamsul Baharin bin Haji Abdul Rahman ketika ditemui juga berkesempatan menyampaikan beberapa nasihat kepada para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.

    “Dengan adanya ilmu amali, praktikal dan rohani yang telah dibekalkan sebelum ini melalui kursus-kursus yang diungkayahkan oleh Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan syarikat-syarikat yang terpilih, para bakal jemaah haji adalah dinasihatkan untuk sentiasa bertenang dan tidak berasa panik.

    “Inilah saat kemuncak untuk para jemaah haji mengamalkan apa yang telah diajarkan kepada mereka. Dengan adanya ilmu berkenaan, dapatlah para jemaah menunaikan ibadah dengan tenang, sempurna dan semoga mendapat haji yang mabrur,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda