Oleh Nurdiyanah R. & Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Seramai 251 jemaah haji Negara Brunei Darussalam termasuk pegawai-pegawai pengiring selamat tiba di tanah air menerusi penerbangan ketiga yang menggunakan Pesawat Diraja Brunei (RB) BI4226 di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada pukul 4:39 petang tadi.
Jemaah berkenaan merangkumi pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (PUJH) Negara Brunei Darussalam, kakitangan perubatan serta jemaah dari tiga syarikat pengelola iaitu Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB), Syarikat Al-Hijrah Travel and Tours Sdn Bhd dan Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd.
Semalam, seramai 251 jemaah haji juga selamat tiba di tanah air melalui penerbangan kedua yang menggunakan Pesawat Diraja Brunei (RB) BI4224, pada jam 4:59 petang.
Ketibaan jemaah turut disertai oleh para pegawai dari Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan), serta wakil dari DSSB, Syarikat Al-Hijrah Travel and Tours Sdn Bhd dan Syarikat Dar El-Ehsan Travel Sdn Bhd.
Mengalu-alukan ketibaan para jemaah bagi kedua-dua penerbangan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Buraithin dan para pegawai kanan kerajaan dari pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
Kedua-dua majlis diserikan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohamad Ali.