Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan hari ini telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Solat Sunat Hajat sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-33 tahun di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Majlis dimulakan dengan sembahyang sunat Hajat berjemaah bagi menghindari wabak dan memohon keselamatan Negara Brunei Darussalam yang diimamkan oleh Imam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Haji Hamdini bin Haji Garif.
Ini diikuti dengan bacaan Ratib Al-Attas, Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta sembahyang fardu Asar berjemaah.
Majlis itu merupakan sebahagian daripada acara keagamaan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh kedua-dua kementerian tersebut. Majlis turut dihadiri oleh pegawai dan kakitangan termasuk guru-guru dari sekolah-sekolah, maktab, institusi pengajian tinggi dan teknikal di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU.
Tema bagi Sambutan Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan’.
Turut hadir, Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh serta ketua-ketua jabatan dan bahagian serta para pegawai kanan di KHEU dan Kementerian Pendidikan.