Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pannir Selvam dihukum mati di Singapura

    SINGAPURA, 8 OKT – Banduan akhir warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman, 38, menjalani hukuman mati di Singapura hari ini dan ia disahkan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) republik itu.

    “Hukuman mati ke atas Pannir Selvam A/L Pranthaman dilaksanakan pada 8 Oktober 2025,” menurut CNB dalam satu kenyataan.

    Mahkamah Rayuan Singapura kelmarin menolak permohonan terakhirnya untuk penangguhan hukuman.

    CNB berkata Pannir Selvam telah diberikan proses undang-undang yang lengkap dan diwakili oleh peguam semasa perbicaraan dan rayuan.

    Pannir Selvam disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017, atas kesalahan mengimport tidak kurang daripada 51.84 gram (g) diamorphine ke Singapura pada 3 September 2014 dan dijatuhkan hukuman mati mandatori.

    Gambar fail bertarikh 19 Februari 2025 menunjukkan seorang aktivis memegang sepanduk di luar kedutaan Singapura di Kuala Lumpur, Malaysia. – AP

    Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), hukuman mati dikenakan jika jumlah diamorphine yang diedarkan melebihi 15g.

    Dia merayu terhadap sabitan dan hukuman itu, tetapi Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 9 Februari 2018.

    Menurut CNB, selepas rayuannya ditolak, Pannir terlibat dalam 11 permohonan selepas rayuan, tujuh daripadanya adalah permohonan bersama dengan banduan lain yang menunggu hukuman mati.

    “Semua permohonan ini ditolak atau diselesaikan,” menurut agensi itu.

    Pannir Selvam diberikan penangguhan hukuman mati sebanyak dua kali. Yang pertama adalah pada Mei 2019, atas alasan dia berhasrat untuk mencabar penolakan petisyen pengampunannya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda