JEPUN – Perkampungan dan lereng gunung yang dihiasi dengan warna musim luruh yang terang menanti awda di wilayah Toyama, yang semakin mendapat perhatian daripada ramai pelancong.
Gaung Kurobe, terletak di sepanjang bahagian tengah ke hulu Sungai Kurobe di timur wilayah Toyama, ialah gaung berbentuk V terdalam di Jepun. Keindahan pemandangannya hanya dapat disaksikan dengan menaiki troli kereta api.
Pemandangan dinamik dari tingkap kereta api sangat mempesonakan. Dari akhir Oktober hingga pertengahan November, gaung itu berubah menjadi pemandangan alam semula jadi yang indah apabila daun musim luruh mewarnai lereng gunung dalam warna merah dan kuning yang mempesonakan.
Selepas kejadian gempa bumi di Semenanjung Noto tahun lepas, troli kereta api itu kini beroperasi hanya antara Stesen Unazuki dan Nekomata.
Walaupun Stesen Nekomata sering digunakan oleh para pekerja binaan dan kakitangan penyelenggaraan talian elektrik, ia kekal dibuka kepada orang awam sehingga keseluruhan talian dibuka semula sepenuhnya.





Datang dan nikmati dedaunan musim luruh di tempat yang tenang itu dan ambil peluang untuk menerokai stesen istimewa tersebut.
Di Stesen Nekomata, para pengunjung juga akan menemui dek pemerhatian baharu dan tempat bergambar khusus.
Pada Januari lalu, The New York Times menamakan bandar Toyama sebagai salah satu daripada ‘52 tempat untuk dilawati pada 2025’. Muzium Seni Kaca Toyama di bandar itu dipaparkan dalam artikel itu, semakin mendapat perhatian secara tiba-tiba.
Muzium itu menempatkan kira-kira 600 karya seni kaca dari Jepun dan luar negara.
Pameran diadakan dua kali setahun sebagai pameran koleksi.
The Glass Art Garden, yang menampilkan pemasangan seni spatial oleh pakar kaca moden Dale Chihuly dan pameran istimewa juga mesti dilihat.
Satu lagi tumpuan ialah bangunan muzium itu sendiri, yang direka oleh arkitek terkenal dunia, Kengo Kuma. Bahagian luarnya, yang menggabungkan kaca, aluminium dan granit berkilauan di bawah sinar matahari. Di dalam, para pengunjung dialu-alukan oleh atrium enam tingkat yang luas dan bahagian dalam dipenuhi dengan kayu, yang memberikan suasana luas dan lapang.
Perkhidmatan troli kereta api Kurobe Gorge Railway ditutup dari Disember hingga pertengahan April. Stesen Unazuki terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari Stesen Unazuki Onsen di Laluan Kereta Api Toyama Chihou. Ia terletak 13 kilometer (km) dari Persimpangan Kurobe di Lebuhraya Hokuriku.
Muzium Seni Kaca Toyama dibuka dari 9:30 pagi hingga 5:30 petang (sehingga 7:30 malam pada hari Jumaat dan Sabtu) dan ditutup pada hari Rabu pertama dan ketiga setiap bulan serta semasa cuti akhir tahun dan Tahun Baru. Muzium tersebut terletak berhampiran dari perhentian trem Nishicho atau Grand Plaza-mae dan kira-kira 5km dari Persimpangan Toyama Expressway Hokuriku. – ANN/The Japan News

