KUTA, 5 JAN – Ratusan sukarelawan menyertai aktiviti pembersihan di Bali kelmarin apabila hujan monsun membawa gelombang sampah plastik yang disebut oleh seorang aktivis sebagai ‘paling teruk’ yang pernah melanda pantai-pantai yang digemari pelancong itu.
Indonesia merupakan salah satu penyumbang terbesar pencemaran plastik dan serpihan sampah di dunia, dengan hujan dan angin monsun tahunan membawa timbunan sampah plastik dari bandar-bandar dan sungai-sungai ke lautan.
Sebahagian sampah itu terapung sehingga ratusan kilometer sebelum terdampar di pantai-pantai pulau percutian terutamanya antara bulan November hingga Mac. Di sepanjang pantai Kedonganan di selatan pulau, cawan plastik, penyedut minuman, peralatan makan dan bungkusan kopi kosong berselerakan di atas pasir, bercampur dengan serpihan tumbuhan dan kayu.
Kira-kira 600 sukarelawan, termasuk penduduk tempatan, pekerja industri hospitaliti dan pelancong, mengharungi hujan dari pagi untuk mengutip sampah dengan tangan sebelum mengisi ke dalam ratusan beg besar.
NGO Alam Sekitar, Sungai Watch, menggelar pencemaran sampah plastik itu sebagai paling teruk yang pernah terdampar di Bali. – AFP