Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Pantai dalam syurga makanan orang Kelantan

    KUALA LUMPUR – Berkunjung ke Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Malaysia pada setiap pagi Ahad suasananya tidak ubah seolah-olah berada di negeri Cik Siti Wan Kembang dengan riuh-rendah kedengaran dialek orang Melayu Kelantan berniaga, walaupun jarak ke negeri itu kira-kira lebih 400 kilometer.

    Sebut apa sahaja makanan Kelantan yang awda teringin, pasti boleh didapati di Pasar Pagi Kelantan yang terletak berhampiran stesen komuter Pantai Dalam sama ada ia dibawa terus dari negeri itu atau dibuat di sini. 

    Daripada aneka kuih-muih seperti peria, tapai, ketupat, lompat tikam, nasi impit kuah kacang hinggalah sayur-sayuran segar seperti ulam-ulaman, solok lada dan timun selain pelbagai jenis masakan pagi seperti nasi berlauk dan nasi dagang ada dijual.

    Tidak terkecuali kudapan istimewa seperti etak salai dan sate ikan atau lebih popular dipanggil ‘lokcing’ juga dapat diperoleh selain barangan bukan makanan seperti pakaian terpakai turut dijual di pasar tersebut yang bermula 7 pagi.

    Peniaga etak salai, Hazren Hazim, 27, berkata makanan ringan yang dijualnya itu diperoleh daripada pembekal di Kelantan dibawa menaiki bas ekspres sehari awal untuk diproses oleh seorang kawannya yang mahir di Shah Alam.

    Pasar Pagi Kelantan yang terletak berhampiran dengan stesen komuter Pantai Dalam itu, terdapat aneka kuih-muih seperti peria, tapai, ketupat, lompat tikam, nasi impit kuah kacang hinggalah sayur-sayuran. – Bernama

    Orang ramai berkunjung ke Pasar Pagi Kelantan, Pantai Dalam seawal 7 pagi bagi membeli makanan dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu baru-baru ini. – Bernama

    Penyelia tapak itu yang sudah setahun menjualnya sebagai kerja sampingan berkata permintaan etak amat tinggi sehingga dia mampu menjual kira-kira 30 kilogram dengan harga bermula RM5 sebungkus.

    “Majoriti pembelinya orang Kelantan, dalam tempoh tidak kurang tiga jam etak yang dijual dalam pelbagai perisa seperti tomyan, manis lemak dan biasa habis dijual…mungkin di tempat lain di sini tiada yang menjualnya, sebab itu ia laku,” katanya.

    Peniaga kuih-muih, Latipah Jaafar, 53, antara peniaga terawal di situ berkata Pasar Pagi Kelantan di Pantai Dalam telah wujud sekitar awal 1990-an dengan orang Kelantan antara yang terawal berhijrah dan tinggal beramai-ramai di sini.

    “Ketika itu untuk mendapatkan barangan dari Kelantan agak susah di ibu kota, jadi ada sebahagian orang kita (Kelantan) mengambil inisiatif menjual di kaki lima sahaja dengan membentangkan tikar sama seperti peniaga pasar pagi di Kelantan.

    “Lama-kelamaan ia menjadi popular dan jumlah peniaga semakin bertambah sehinggakan jolokan Pasar Pagi Kelantan melekat walaupun kami terpaksa beralih tapak berniaga beberapa kali disebabkan desakan pembangunan di sekeliling,” katanya yang tinggal berhampiran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria.

    Seorang lagi peniaga, Yusri Yahya, 42 berkata terdapat kira-kira 20 hingga 30 rakyat Kelantan berniaga di pasar pagi itu dan kebanyakannya mencari rezeki sampingan walaupun sudah mempunyai pekerjaan tetap.

    “Kami berharap tempat ini terus kekal sebagai lokasi rakyat dari Pantai Timur mencari sumber rezeki kerana ia sudah pun sinonim sejak dari dahulu lagi dan telah menjadi pusat tumpuan masyarakat sekitarnya,” katanya dan menambah pembersihan di kawasan tapak pasar itu dilakukan secara gotong-royong melalui kutipan bayaran RM2 daripada setiap peniaga. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...