SARASOTA, FLORIDA, 12 MAC – Pantai barat daya Florida mengalami serangan alga air pasang toksik minggu ini, mencetuskan kebimbangan bahawa ia boleh terus berlarutan untuk seketika. Fenomena tersebut bermula sejak bulan Oktober lalu.
Penduduk mengadu mengenai sakit mata dan mengalami masalah bernafas. Ikan mati didapati telah terdampar di pantai. Perayaan tepi pantai terpaksa dibatalkan, walaupun ia dijadualkan dalam tempoh sebulan lagi.
Pesta pantai tahunan di Indian Rocks Beach, Florida, yang ditaja oleh persatuan pemilik rumah, telah dibatalkan selepas fenomena tersebut disahkan, dengan bantuan daripada bandar dan Jabatan Kesihatan Daerah Pinellas, bahawa air pasang berkemungkinan besar akan berterusan sehingga pertengahan bulan depan apabila perayaan itu berlangsung.
Hampir dua tan longgokan, kebanyakannya ikan mati, telah dibersihkan dari pantai Pinellas County dan dibawa ke tapak pelupusan sampah, kata jurucakap daerah Tony Fabrizio kepada Tampa Bay Times.
Kira-kira 454 kilogram ikan telah dibersihkan dari pantai di Pantai St Pete sejak awal bulan kata salah seorang penyelia taman.
Air pasang merah, berpunca daripada alga toksik yang berlaku secara semula jadi di Teluk Mexico, diburukkan dengan kehadiran nutrien seperti nitrogen dalam air.
Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berenang di atau sekitar perairan air pasang merah kerana kemungkinan boleh menyebabkan iritasi kulit, ruam dan terbakar dan sakit mata. Orang yang mempunyai asma atau penyakit paru-paru harus mengelakkan pantai yang dicemari oleh alga toksik tersebut.
Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida melaporkan bahawa ia telah mengambil 157 sampel di sepanjang Pantai Teluk Florida, dengan kepekatan paling kuat di sepanjang daerah Pinellas dan Sarasota. – AP


