TIDAK banyak pantai kaca yang ada di dunia ini dan keunikan itu menjadikannya begitu popular. Walau bagaimanapun, Jepun adalah rumah kepada pantai kaca yang indah sehingga ianya tidak mempunyai nama khusus.
Tidak seperti pantai kaca yang cukup terkenal di California atau salah satunya di Ussuri Bay, di pantai barat Pasifik Rusia, di mana alam semula jadi terpaksa melakukan hakisan bagi mengurangkan ketajaman gelas dan serpihan tembikar porselin yang telah dibuang sebagai sampah (dijadikan berbentuk batu bulat) sehingga anda boleh berjalan memijaknya dengan selamat.
Butiran kaca berwarna-warni yang ada di pantai tidak bernama di Jepun ini, di Bandar Raya Omura, sebenarnya adalah dari bahan yang dikitar semula.
Pantai kaca yang indah ini merupakan sebuah permata tersembunyi di Wilayah Nagasaki. Ianya belum diketahui sama ada tempat tersebut disenaraikan sebagai tapak pelancongan, namun suasananya begitu indah dan menarik untuk dipandang.
Sekali pandang atau dilihat dari jauh, bahagaian Taman Morizono ini seperti sebuah pantai biasa yang menawarkan sebuah pemandangan yang luar biasa mengadap Omura Bay.


Namun jika dilihat secara dekat, pasir yang berkilauan itu bukanlah sejenis pasir, namun ia adalah batu kaca berwarna-warni yang telah dibentuk halus dan kecil.
SoraNews24 melaporkan bahawa beberapa tahun yang lalu, tempat yang penuh ajaib ini merupakan sebuah kawasan berbatu yang sering diliputi dengan alga semasa musim panas. Alga ini akan mula mereput dan membuatkan orang ramai untuk menjauhinya oleh kerana pengeluaran baunya yang kurang menyenangkan. Oleh itu, pihak berkuasa tempatan mula mencari penyelesaian dan akhirnya memutuskan untuk mengeluarkan batu-batu itu dan menutupi pantai tersebut dengan kaca yang dikitar semula bagi mengelakkan alga untuk terus berkembang biak.
Bukan sahaja kaca-kaca itu memenuhi segala tujuan praktikalnya, tetapi ia juga menjadi satu tarikan yang menarik buat para pelancong. Aktiviti berenang di kawasan pantai yang tidak bernama itu juga ditegah buat masa ini.
Ini berkemungkinan kerana Bandar Raya Omura kini sedang berusaha untuk memulihkan air Omura Bay.
Walau bagaimanapun, pantai kecil ini telah mula menarik perhatian orang ramai dalam media sosial seperti laman Instagram.
Jadi jika anda ingin mengunjungi Bandar Raya Omura dan mencari sesuatu yang unik, anda perlu meneroka pantai kaca buatan manusia ini yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Nagasaki. Ia kelihatan sangat menakjubkan! – Agensi