KAILUA – Di Kailua, pasir pantai yang lembut dan putih, airnya yang jernih dan tenang serta pemandangannya yang menakjubkan merupakan pemandangan yang dapat dibayangkan di Kepulauan Hawaii.
Perkara tersebut menyebabkan kenapa Pantai Kailua, Taman Oahu telah dipilih sebagai kawasan pantai pasir terbaik bagi senarai tahunan di Amerika Syarikat.
Stephen Leatherman, saintis pesisir pantai dan profesor di Florida International University, telah merangka senarai itu di bawah nama singkatan ‘Dr Beach’ sejak tahun 1991 lagi.
Leatherman telah menggunakan 50 kriteria bagi menilai kawasan pantai dan paling penting menekankan kategori kebersihan air, keselamatan dan pengurusan persekitaran pantai serta kemudahannya.
Leatherman telah menggunakan data dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS bagi membuat penilaian itu atas kualiti air serta kesemua pantai-pantai yang berada di dalam senarai pilihannya.






Pantai-pantai di Hawaii secara konsisten berada di kedudukan yang tinggi malah sentiasa berada di kedudukan teratas senarai pilihannya. “Saya suka Pantai Waikiki, tidak ada soalan mengenai itu – pantai terkenal di dunia – akan tetapi Kailua jauh lebih kecil dan lebih tenang,” kata Leatherman kepada media.
“Ia lebih aman, tenang dan anda tidak perlu risau mengenai apa-apa. Kailua berada di seberang gunung malah ia seperti berada di dunia yang berbeza,” tambahnya.
Larangan merokok
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Leatherman telah memberi penghargaan dan pujian kepada kawasan pantai yang telah melarang untuk merokok, sebagaimana kesemua pantai Oahu telah lakukan. Dia fikir beberapa buah pantai di seluruh negara itu perlu mengikuti jejak langkah Oahu itu.
Leatherman turut mencari kawasan pantai yang mempunyai pasir putih yang lembut di mana sangat banyak di Taman Pantai Kailua. Vari Singh dan keluarganya telah berkunjung ke Oahu dari Los Angeles dan telah meluangkan masa satu hari di Kailua.
“Warna laut adalah sebagaimana yang kami bayangkan dan tidak pernah kami saksikan sebelum ini. Pasirnya sangat lembut dan menyeronokkan,” katanya sambil menghilangkan pasir dari wajah anaknya. “Pemandangannya begitu indah, anda boleh mendaki bukit dan menyaksikan pemandangan laut yang begitu hebat dan menenangkan,” tambah Singh kepada media.
Leatherman mengakui bahawa tidak semua orang akan menghargai publisiti senarai yang dia kemukakan itu. “Saya mendapat maklum balas yang baik daripada semua orang, mereka bergembira mengenainya, mereka sudah tahu ke mana mereka hendak pergi,” kata Leatherman.
“Akan tetapi, saya juga menerima beberapa penolakan, malah beberapa orang mengatakan bahawa terlalu ramai pengunjung telah berkunjung ke kawasan ini, apa yang awak lakukan?,” kata Leatherman. Kebanyakan mereka berfikir bahawa Pantai Kailua bukanlah pantai rahsia.
Braden Marquez, berusia 18 tahun dibesarkan di Kailua berkata bahawa dia bimbang tentang kesesakan orang ramai dan dalam masa yang sama berharap akan ada kemajuan di tempat kelahirannya itu.
“Pantai ini sangat istimewa kepada saya kerana keluarga saya telah datang ke sini selama bertahun-tahun,” katanya dan menambah bahawa pantai itu telah banyak berubah sejak zaman kanak-kanaknya lagi.
Semakin padat
“Kebimbangan terbesar saya ialah kehilangan penduduk tempatan kerana kepadatan pengunjung yang semakin bertambah,” katanya semasa lawatannya baru-baru ini ke pantai itu. “Selain itu, saya sangat teruja dengan semua perubahan yang baharu di masa yang akan datang,” tambahnya.
Bagi peringkat pertama selama 25 tahun senarai kedudukan, mana-mana pantai yang memenangi tempat teratas dalam senarai Leatherman adalah tidak layak untuk dimasukkan ke tahun-tahun yang berikutnya. Tetapi pada tahun 2015, Dr Beach itu telah merubah sistem berkenaan dan membenarkan mana-mana pantai di negara itu untuk dimasukkan dalam calon senarai pantai yang terbaik di Amerika Syarikat.
Kailua dinamakan sebagai pantai terbaik pada tahun 1998, menjadikannya sebagai pantai yang meraih dua kemenangan. Leatherman sekali lagi mengemukakan tawaran senarai baharu dan memaklumkannya ke laman sesawang miliknya.
Pantai-pantai lain yang tersenarai dalam pemilihan Dr Beach adalah seperti Pantai Ocracoke Lifeguarded di Outer Banks di California Utara diikuti oleh Grayton Beach State Park di Florida, Pantai Coopers, Southampton, New York, Pantai Duke Kahanamoku di Oahu, Pantai Guard, Cape Cod, Massachusetts, Taman Negeri Pulau Caladesi, Dunedin-Clearwater, Florida, Taman Pantai Negeri Hapuna di Big Island Hawaii, Pantai Coronado, San Diego, California dan Beachwalker Park, Kiawah, South Carolina.
Matlamat utama Leatherman adalah untuk menghasilkan senarai tahunan dan untuk memberi ganjaran kepada pantai yang berkualiti tinggi dan selamat bagi mengimbangi alam semula jadi dengan kemudahan serta tawaran yang diberikan.
Dia berharap pantai yang belum tersenarai dalam pilihannya akan membuat perubahan bagi meningkatkan pengalaman yang lebih baik sekaligus mengekalkan ekosistem yang lebih baik. – AP