ARAU, 1 Feb – Pantai Sungai Baru di Simpang Empat bagaikan ‘pesta’ pada pertengahan dan akhir bulan dengan kemunculan mentarang iaitu sejenis siput laut yang menjadi rezeki tambahan penduduk tempatan.
Mentarang atau nama saintifiknya Pholas Orientalis merupakan spesies hidupan laut bercangkerang, mempunyai kulit nipis dan biasanya lebih menggemari air bersuhu rendah.
Mentarang biasanya muncul di pantai berselut kira-kira dua kilometer dari tebing pantai dalam tempoh enam atau tujuh hari dalam sebulan, boleh dijual RM10 hingga RM16 sekilogram.
Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 50 pencari mentarang termasuk dari luar kawasan Sungai Baru sanggup meredah pantai berselut hampir tiga kilometer apabila air surut, biasanya pada sebelah pagi, untuk mencari hidupan laut itu yang menjadi rezeki buat mereka.

Seorang penduduk tempatan, Hussain Yahya, 49, berkata beliau boleh mendapat hampir 30kg mentarang dalam tempoh kira-kira dua jam.
“Sekali turun (keluar mencari) boleh dapat RM250 hingga RM300. Sebahagian untuk makan sendiri. Kalau rajin boleh dapat RM1,200 hingga RM1,600 dalam tempoh mentarang muncul (enam hingga tujuh hari).
“Kerja mencari mentarang ini mudah tapi terpaksa bermain dengan selut. Kami hanya perlu bawa alat pengorek yang diperbuat daripada kayu dipanggil ‘kedan’ dan bekas untuk mengisi mentarang,” kata tukang kebun sebuah syarikat swasta di pekan Simpang Empat itu kepada Bernama. – Bernama