Oleh Raz AS
Pantang larang boleh dikatakan sudah sebati dalam darah daging masyarakat kita. Diwarisi turun temurun daripada kepercayaan zaman nenek moyang sehinggalah ke hari ini, dan kemudian mungkin ada yang mewariskannya lagi kepada anak cucu. Ada yang sudah hilang dilupakan seiring dengan peredaran zaman, ada juga yang masih lagi dipegang kuat oleh segelintirnya.
Tidak dapat dinafikan, pada zaman serba moden ini di negara kita, para nelayan dan pemancing merupakan antara golongan yang masih lagi banyak terkesan mahupun berpegang kepada pantang larang dan kepercayaan orang dulu-dulu. Masing-masing mengamalkan pantang larangnya yang kadang-kadang sama sekali tidak berasas, tidak logik dan tidak masuk akal.
Apa sebabnya tidaklah penulis ketahui dengan pasti, mungkin kerana terlalu taksub ingin mendapatkan hasil, tidak dapat menerima kenyataan dengan rezeki tangkapan yang kurang atau mungkin sahaja terlalu takut dan uri akan ditimpa bala dan mudarat.
Namun yang pastinya kadang-kadang ia boleh membawa rasa kurang senang hati kerana mendengar bebelan malah boleh juga membawa kepada pertengkaran sesama sendiri apabila salah seorangnya melanggar pantang larang dengan tidak sengaja mahupun tidak mengikutnya kerana tidak mempercayainya.
Perkara seperti ini lazim diterjadi, mungkin saja dialami sendiri oleh pembaca. Bila enggan percaya pada sesuatu pantang larang itu dianggap sebagai degil dan keras kepala. Bila melanggarnya pula dianggap ingin mengundang bala.
Pernah ketika penulis sedang memancing di Pantai Jerudong bersama rakan-rakan, menegur kelibat ikan yang melompat tinggi jauh di hadapan kami, yang kami teka-teka adalah daripada jenis ikan ‘sambaran’.
Tiba-tiba datang seorang pemerhati mendekati kami sambil mulutnya berkunyanyang tidak sudah-sudah melarang kami bermulut cabul dan membuatkannya kambang bulu, tidak sekadar itu beliau menyuruh kami banyak-banyak mengucap “jauh palis” agar terhindar daripada mudarat gangguan makhluk ghaib.
Kami hanya berdiam diri memendam perasaan yang berbaur antara geli hati dan sakit hati kerana dileter panjang sekadar kerana menegur ikan yang diciptakan Allah mempunyai kebolehan melompat.
Selain kepercayaan perbuatan ‘menegur’ haiwan dikatakan boleh mengundang bala atau gangguan hantu dan puaka, ramai juga yang percaya bahawa tertawa dan beibun ketika menangkap ikan boleh mengakibatkan datangnya masap atau ribut badai secara tiba-tiba. Di manakah kaitan dan logiknya susah untuk difikirkan, sedangkan sebagai umat Islam kita tahu fenomena perubahan cuaca itu adalah mengikut kehendak dan izin Allah SWT.
Antara pantang larang lain yang pa-ling mempengaruhi ramai nelayan dan pemancing adalah larangan untuk memancing atau turun ke laut ketika isteri mengandung. Dikatakan takut-takut anak yang dilahirkan akan mengalami kecacatan atau sakit, kerana memancing atau menangkap ikan itu konon-kononnya sama dengan menyeksa haiwan, jadi takut terkena badi.
Mungkin pada asalnya larangan ini bertujuan untuk menggalakkan kaum lelaki untuk menemankan isterinya di rumah ketika hamil, yang jika difikirkan secara logiknya memanglah sesuatu perkara yang baik agar isteri yang hamil itu sentiasa dijaga dan dikelinga tidak dibiarkan sendirian, takut ada apa-apa.
Namun bagaimanakah sekiranya menangkap ikan itu adalah satu-satunya sumber mata pencarian kita atau cara kita mencari rezeki lebih kerana gaji cukup-cukup makan bukannya sekadar bersuka-suka.
Adakah dihentikan begitu saja sebaik mengetahui isteri hamil satu bulan, sedangkan perbelanjaan akan meningkat kerana bilangan orang rumah akan bertambah. Lebih sakit lagi selama ini kita makan lauk percuma yang kita tangkap sendiri tapi kerana larangan tersebut kita terpaksa pula berbelanja lebih untuk membelinya.
Islam mensyariatkan umatnya untuk rajin berusaha dan mencari rezeki. Dalam Al-Quran, Surah Al-Jumu’ah ayat 10, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”
Kenapa perlu kita mengamalkan pantang larang dan kepercayaan kurafat yang mengharamkan sesuatu yang halal dan menyusahkan diri sendiri, sedangkan menangkap ikan itu adalah pekerjaan yang halal, untuk mencari rezeki yang halal.
Jika tujuannya memancing untuk beriadah sekali-sekala pun masih tidak salah, kerana beriadah itu pun sememangnya digalakkan dalam Islam untuk kesihatan minda dan jasmani, selagi mana ia tidak menyebabkan si suami lalai daripada tanggungjawab menjaga isterinya yang sedang hamil.
Selain itu, pantang terbesar yang dipegang oleh kebanyakan pemancing adalah peralatan pancing tidak boleh dilangkah, kerana kononnya ia boleh membawa ‘sial’ mengakibatkan peralatan tersebut tidak akan dapat menangkap ikan dan lebih baik dibuang sahaja ditukar dengan yang baharu.
Mungkin dari segi logik akalnya, ia untuk mengelakkan peralatan tersebut rosak atau mengelak kecederaan akibat terpijak secara tidak sengaja semasa melangkah. Tetapi jika peralatan tersebut dibuang atau diganti saja dengan yang baharu, sekadar alasannya telah sial kerana dilangkah bukannya rosak, bukankah itu satu pembaziran?
Sebagaimana dalam Surah Al-Isra ayat 27 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya”.
Banyak lagi pantang larang dan kepercayaan dalam dunia memancing ini jika ingin disenaraikan satu persatu, namun apa yang penting pemancing-pemancing yang beragama
Islam harus berhati-hati dalam mengamalkannya, kerana ada yang sama sekali tidak selari malah bertentangan dengan ajaran Islam. Ditakuti pula ia dapat menyebabkan berlakunya syirik dan mempengaruhi akidah kita.
Tidak salah jika ingin mengamalkan pantang larang, tetapi perlulah diteliti, difikirkan dengan logik akal akan sebab dan pengajaran di sebalik sesuatu pantang larang itu, bukannya diikut membabi-buta sehingga menyusahkan diri dan percaya adanya kuasa yang boleh membawa rezeki dan kemudaratan selain daripada Yang Maha Esa.
Sekiranya tidak mendapat hasil yang diharapkan atau ditimpa sesuatu kemudaratan, bukanlah ia kerana kita melanggar pantang larang tetapi ia sememangnya sudah rezeki dan Qada dan Qadar kita yang ditetapkan oleh Allah SWT.