Thursday, July 17, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pantas dan tangkas dalam penyediaan makanan

    POPULARITI bidang masakan dilihat semakin berjaya menarik perhatian terutama apabila hadiah lumayan telah ditawarkan kepada pemenang dalam beberapa siri rancangan realiti televisyen seperti Masterchef dan Hell’s Kitchen.

    Lebih menarik lagi apabila, aktiviti memasak bukan hanya dianggap sebagai satu keperluan bagi memenuhi kehendak dan mengalas perut yang lapar.

    Kini, ia juga dianggap sebagai satu profesion sehingga ada beberapa pusat pengajian tinggi yang turut menawarkan kursus masakan di peringkat tertinggi sekali gus memberi peluang kepada lulusannya untuk menjawat jawatan cef di beberapa restoran dan hotel terkemuka.

    Tidak terkecuali juga ada di antara mereka yang turut membuka dan menguruskan restoran sendiri.

    Namun dalam menguruskan sesebuah restoran itu setentunya memerlukan tahap kemahiran dan keyakinan yang tersendiri bagi memastikan ia berjaya untuk dikendalikan.

    Antara karakter comel yang boleh dipilih bagi mewakili kumpulan pekerja yang boleh dikawal oleh pemain.
    Kelalaian dalam penyediaan makanan setentunya boleh mewujudkan pelbagai risiko seperti kebakaran sekali gus menyebabkan kerugian.

    Setentunya ada di antara individu yang juga pernah mengimpikan untuk menguruskan sebuah restoran dan sekiranya anda ingin merasai sendiri bagaimana cabaran yang harus dilalui maka adalah menjadi satu berita baik bagi anda apabila syarikat penerbitan permainan video seperti Ghost Town dan Team 17 kembali menghasilkan siri permainan video bertemakan masakan dan pengurusan restoran dalam Overcooked 2.

    Ia merupakan sekuel kepada permainan video berjudul Overcooked yang pernah dilancarkan pada tahun 2016 dan menerima sambutan yang cukup menggalakkan.

    Menyediakan pelbagai jenis makanan

    Dalam pemainan ini, pemain akan mengawal sekumpulan cef yang sibuk beraksi di sebuah dapur untuk menyediakan aneka jenis masakan, melayan pelanggan dan juga membersihkan semula segala kelengkapan dapur yang telah digunakan.

    Kawalan masa yang baik jelas dititik beratkan agar segala tugas yang dipertanggungjawabkan itu berjaya untuk dilaksanakan.

    Kerjasama di antara cef-cef dan pelayan yang dikawal oleh pemain itu akan hanya dapat diwujudkan sekiranya para pemain sentiasa mengawasi segala tindakan, kehendak dan kemahuan setiap pelanggan yang mengunjungi restoran yang diusahakan.

    Setentunya pelbagai karenah dan kehendak para pelanggan yang harus dihadapi oleh pemain sewaktu menjayakan pelbagai misi dalam permainan video ini.

    Pemain juga akan diberikan ganjaran berupa wang setelah berjaya melaksanakan sesuatu misi itu dengan sempurna.

    Wang tambahan turut diberikan pada setiap masakan yang dipesan oleh pelanggan apabila ia dapat dihidangkan tepat pada masanya.

    Sekiranya, pemain gagal untuk melayan pelanggan secara baik atau tidak berjaya memenuhi kehendak mereka maka tiada sebarang ganjaran diberikan bahkan masa yang telah diperuntukkan juga terbuang begitu sahaja.

    Tangani cabaran di dapur

    Konsep permainan yang diterapkan dalam Overcooked 2 ini adalah secara berperingkat di mana pemainnya harus melaksanakan setiap misi yang diberikan dalam sesuatu peringkat sehingga berjaya sebelum berpeluang untuk menghadapi cabaran pada peringkat yang seterusnya.

    Pemain juga tidak terlepas daripada melalui cabaran pada setiap peringkat sehingga ada kalanya berpotensi dalam memberikan risiko pada karakter yang dikawal.
    Panduan resipi setiap makanan yang hendak dihidangkan turut disediakan sebagai satu rujukan khususnya bagi memudahkan tugas di bahagian dapur dalam Overcooked 2.

    Dengan itu, persekitaran dapur pada setiap peringkat adalah berbeza di mana ia merangkumi bahan masakan, peralatan, saiz, hidangan, suasana dan juga kerenah pelanggan.

    Dalam merujuk kepada aspek suasana dapur, ada di antara peringkat yang memerlukan pemain untuk menyediakan makanan di kawasan ekstrem seperti di atas beberapa rakit yang bergerak di mana ruangan dapur pada kawasan itu boleh bercantum atau berpecah.

    Perkara tersebut bukan sahaja mewujudkan keadaan yang tidak selesa pada pekerja dapur yang dikawal oleh pemain malah adakalanya turut mencetuskan beberapa insiden seperti tatkala cantuman pada rakit itu mula bercerai setentunya akan meningkatkan lagi risiko pada karakter yang dikawal sekali gus turut melambatkan lagi proses penyediaan makanan.

    Ia bukan sahaja merugikan malah turut dianggap sebagai membuang masa kerana pemain harus menyediakan menu baharu bagi menggantikan menu yang gagal untuk disediakan kepada pelanggan.

    Dari aspek kelengkapan dapur pula, pengawasan adalah perlu kerana sekiranya pemain terlalu lalai dalam menumpukan kepada sesuatu perkara adakalanya ia juga boleh menjejaskan sesuatu keadaan seperti menyebabkan kebakaran di dalam dapur yang setentunya merupakan sesuatu cabaran yang harus dihadapi.

    Keluasan sesebuah restoran setentunya juga turut menarik lebih ramai pelanggan untuk menikmati hidangan. Maka ia secara tidak langsung turut menambahkan lagi tugas pemain untuk mengawasi setiap pelanggan yang keluar masuk agar mereka menerima layanan yang sebaiknya sekaligus dapat memberikan wang ganjaran pada peringkat yang maksimum.

    Pemain secara bebas boleh mengawal semua karakter yang terbabit dalam perusahaan restoran itu seperti cef, pekerja dapur dan pelayan demi memastikan kepuasan hati pelanggan dapat dipenuhi.

    Satu unsur terbaharu yang diperkenalkan pada sekuel ini adalah apabila setiap karakter yang sibuk dalam menyediakan bahan masakan di dapur boleh melemparkan setiap ramuan kepada rakannya bagi menyingkatkan lagi proses penyediaan makanan itu.

    Di samping itu, permainan video ini juga menerapkan konsep multiplayer yang membolehkan pemain bermain bersama rakan-rakan yang lain.

    Mod online turut diperkenalkan pada siri terbaharu permainan ini di mana pemain boleh mencabar kredibiliti dengan pemain lain di seluruh dunia.

    Justeru, sekiranya pemain ingin menguji kemahiran untuk beraksi di dalam dapur atau menguruskan sesebuah restoran maka jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Overcooked 2 yang dikeluarkan untuk platform Nintendo Switch, PlayStation 4, Windows dan Xbox One.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda