Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pantau Bacaan Al-Quran 77 kali khatam

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Majlis Pemantauan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 77 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 telah diadakan di masjid-masjid terpilih di setiap daerah, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) di sini, majlis pemantauan bacaan itu merupakan kesinambungan daripada Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 77 Kali Khatam yang telah diadakan pada 11 Mei lalu di masjid-masjid terpilih di setiap daerah.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis pemantauan bacaan telah diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di mana hadir memantau di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Bagi Daerah Belait, majlis telah diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut.

    Di Daerah Tutong pula, majlis telah diadakan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai dan hadir memantau pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Manakala itu, di Daerah Temburong, majlis berlangsung di Masjid Utama Mohamad Salleh, Pekan Bangar di mana hadir memantau pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan majlis membaca ayat-ayat suci Al-Quran beramai-ramai secara persendirian serta diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    Para peserta bagi pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran berkenaan terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, penuntut-penuntut sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis yang berumur 13 tahun hingga 20 tahun terpilih dan mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan
    Haji Hassanal Bolkiah, sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran Remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah agama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.

    Majlis pemantauan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di Daerah Brunei dan Muara.
    Majlis pemantauan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di Daerah Temburong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda