Oleh Kurniawati Kamarudin
KUALA LUMPUR – Tentu ramai masih ingat mengenai peristiwa jerebu melanda Malaysia dan negara-negara jirannya pada September 2015, hingga mencemaskan rakyat Malaysia apabila Indeks Pencemaran Udara (API) mencatatkan bacaan rendah hingga tahap ’amat tidak sihat’ antara 201 dan 300 di beberapa bahagian negara. Sejak itu, masalah jerebu dianggap satu fenomena tahunan di rantau ini dan rakyat Malaysia pula hanya mengikuti sejauh mana serius kualliti udara menerusi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari 52 stesen pengawasan udara di seluruh negara.
Usaha meningkatkan kesedaran berterusan masyarakat tentang pentingnya mengetahui kualiti udara antara sebab Pusat Sistem Tropika dan Perubahan Iklim (IKLIM), Institut Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan sensor berciri murah atau “low-cost sensor” yang dapat memantau kualiti udara pada bila-bila masa.
Sensor yang diberi nama DIRAC berupaya mengukur kepekatan gas pencemar seperti ozon (O3), sulphur dioksida (SO2), karbon monoksida (CO), Nitrogen dioksida (NO2) dan zarahan terampai seperti PM2.5 di satu-satu kawasan dengan cara yang lebih mudah, ringan dan yang paling penting ketepatan data. Teknologi ini juga hasil kerjasama Cranfield University dan University of Cambridge di United Kingdom.
Aplikasi melalui telefon bimbit
Projek yang diketuai Ketua Pusat Perubahan Iklim, Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir bersama Pelajar Doktor Falsafah (PHD), Pusat Sains Angkasa, Instutut Perubahan Iklim, Kemal Maulana Alhasa dari Indonesia menggunakan aplikasi di telefon pintar yang boleh dimuatnaik bagi melihat data kualiti udara yang dihantar secara dalam talian.
Data-data daripada sensor itu adalah di dalam bentuk analog yang kemudian ditukar ke bentuk digital untuk diproses dan disimpan sebelum dihantar ke data online secara dalam talian, menurut Mohd Shahrul. Kepakaran Kemal dalam kejuruteraan elektrik membantu membangunkan sensor dengan cara yang lebih mudah dengan hanya menggunakan peralatan yang boleh diperoleh di pasaran antaranya arduino yang bertindak sebagai komputer mikro di dalam sensor itu.
“Orang ramai yang memuatnaik aplikasi tersebut boleh melihat sendiri kualiti udara di lokasi-lokasi sensor itu dipasang. Jika tanda merah bermaksud kualiti udara di kawasan berkenaan tidak sihat, hijau (sihat) dan kuning (sederhana).
“Jadi orang ramai tahu kawasan itu tidak sesuai dikunjungi, mereka boleh elakkan daripada melakukan aktiviti luar di sana,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata terdapat tiga jenis sensor di dalam Dirac yang akan mengukur parameter yang berbeza iaitu karbon monoksida (CO), Sulfur dioksida (SO2) ozon di permukaan bumi (O3) dan nitrogen dioksida (NO2). Kebiasaannya pengukuran kualiti udara dibuat menggunakan pemantauan terus di stesen-stesen pemantauan sepertimana yang digunakan JAS di 54 stesennya di seluruh Malaysia.
Di stesen pemantauan udara, terdapat peralatan pemantauan udara atau ‘gas analyzer’ untuk mengukur status kualiti udara. Akan tetapi, kos pengendaliannya dan penyelengaraan peralatan itu agak mahal. “Jadi kita bangunkan sensor yang murah, mudah, ringan untuk diletakkan di mana-mana sahaja lokasi yang dirasakan perlu untuk melihat kualiti udara,” katanya.
Ujian kualiti kawalan
Menggunakan kuasa bateri dan solar, Dirac telah menjalani ujian kualiti kawalan di makmal dan luar makmal untuk mendapatkan kejituan dan ketepatan data. Menjelaskan lagi, Mohd Shahrul berkata udara dipantau oleh Dirac dan ‘gas anlyzer’ contohnya O3 analyzer, CO analyzer dan lain-lain secara serentak selama tiga minggu di dalam makmal dan luar makmal.
Dirac sensor dan gas analyzer memberi data kepekatan gas di udara yang hampir sama, di sini jelas dapat membuktikan kejituan dan ketepatan data oleh Dirac.
Katanya, “Hasil perbandingan itu kami mendapati ketepatan sensor adalah 90 peratus dengan gas analyzer yang mana menunjukkan ketepatan dan kejituan. “Tujuan ujian ini bagi memastikan kualiti data yang terbaik dapat digunakan bagi alam sekitar pada masa akan datang,” katanya.
Bagaimanapun terdapat juga kelemahan pada sensor ini antaranya ia tidak boleh berada dalam kelembapan terlampau tinggi terutama ketika hujan yang terlalu lebat yang boleh mengganggu bacaan.
Tetapi dalam masa yang sama hujan lebat ini akan mencuci pencemaran di udara dan menjadikan kualiti udara ketika itu berada dalam keadaan baik, katanya. “Pada cuaca panas paling penting untuk mendapatkan nilai indeks pencemaran udara yang tinggi contohnya semasa berlaku jerebu. “Cara yang paling selamat untuk mengatasi kelemahan ini dengan meletakkan sensor itu di tempat terlindung dan sekiranya hujan lebat mungkin kita boleh buatkan ‘water proof casing’ untuk mengelakkan air masuk,” katanya.
Bantu ke arah bandar hijau
Bersedia untuk dikomersialkan, Dirac mendapat kerjasama dengan beberapa pihak antaranya pihak berkuasa tempatan yang berminat untuk menggunakan sensor bagi memantau kualiti udara di kawasan mereka. Antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam yang kini ke arah mewujudkan bandar hijau untuk memasang sensor ini bagi membantu kualiti udara di kawasan mereka.
Selain itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut berminat untuk memasang sensor ini di ladang-ladang kelapa sawitnya. “Sensor ini boleh dipasang di mana-mana sahaja seperti taman rekreasi, kawasan di tengah-tengah bandar yang sibuk, di hentian bas. Ia boleh dipasang dengan cara yang sangat mudah di tiang-tiang elektrik atau yang bersesuaian dengannya,” katanya.
Di luar negara penggunan sensor seperti ini sudah banyak digunakan untuk memantau kualiti udara contohnya di London di sekitar kawasan lapangan terbang. Inisiatif seperti ini boleh juga diaplikasikan kepada syarikat pengangkutan negara seperti Rapid dengan meletakkannya di lokasi yang mana orang ramai mudah terdedah dengan risiko udara tidak sihat seperti di hentian bas.
“Dengan cara ini, Rapid akan menjadi lebih cekap dan tidak boleh lambat sampai mengambil penumpang sebab tidak mahu udara yang tercemar dihidu orang ramai yang menunggu di hentian bas. Ini antara yang diperlukan ke arah negara maju,” katanya kualiti udara yang tidak baik bukan sahaja memberi kesan buruk kepada bumi tetapi juga kesihatan manusia yang boleh menjadi punca kanser paru-paru dan kulit untuk jangka masa panjang. – Bernama