Thursday, November 14, 2024
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pantau pembinaan SSLR, patuhi piawaian keselamatan

    KUCHING, 13 NOV – Pihak berkuasa perlu melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan yang ketat terhadap kerja-kerja pembinaan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan Baru Bian.

    Beliau berkata ini penting bagi memastikan kontraktor yang dilantik mematuhi keperluan piawaian pembinaan yang tinggi terutama dari segi keselamatan.

    “Ini akan menjadi jalan raya pertama ke kawasan pedalaman selepas penantian sekian lama oleh penduduk kampung dan ia mestilah dibina dengan sempurna bagi mengelakkan kejadian jalan raya runtuh sebagaimana yang sering berlaku di Sarawak,” katanya semasa sesi perbahasan belanjawan negeri 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Pada 4 November lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata fasa pertama projek SSLR yang meliputi laluan dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng di Sarawak telah mencapai 38 peratus pelaksanaan setakat September 2024. 

    Projek tersebut yang bermula di Kampung Gelugus di Lawas dan melibatkan jarak 77 kilometer (km) ke Persimpangan Long Lopeng, dijangka siap menjelang November 2026.

    Ahmad Maslan juga menyatakan bahawa Surat Setuju Terima (SST) bagi fasa kedua projek SSLR telah dikeluarkan pada Mac lepas. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda