Baru-baru ini saya telah mengunjungi gerai jualan perayaan di ibu kota. Kemeriahannya sememangnya amat menggalakkan dan mendapat sambutan daripada orang ramai. Namun, terdapat beberapa perkara yang bagi saya perlu dititikberatkan oleh para peniaga.
Ketika saya melalui gerai perayaan di kawasan berhadapan bendera besar, saya mendapati kebanyakan peniaga menggunakan generator untuk menjana kuasa gerai-gerai mereka. Saya melihat kebanyakan generator disimpan berjauhan dari gerai mereka serta pendawaiannya juga diurus sebaiknya. Namun, pada pandangan saya, tempat meletakkan generator itu sebenarnya agak berbahaya kerana orang ramai lalu lalang tanpa memikirkan keberadaan generator tersebut. Dalam masa yang sama, pendawaian yang diurus oleh peniaga juga seharusnya disimpan dengan seelok-eloknya yang mampu menghindari dari terkena basah akibat hujan.
Ini kerana ketika saya berkunjung ke gerai perayaan, ia dalam keadaan hujan renyai-renyai, tetapi pendawaian terletak di tempat terkena hujan, dikhuatiri ia mengundang bahaya kepada orang ramai. Sebaiknya, kawasan tempat menyimpan generator tersebut perlu dibuat halangan agar orang ramai tidak melaluinya dan dalam masa yang sama balut sebaiknya pendawaian yang mungkin terpaksa diletakkan dalam laluan orang ramai.
Perkara kedua yang saya ingin tekankan adalah pencemaran bau di gerai-gerai perayaan. Keadaan dan bau di kawasan gerai perayaan depan Muzium Alat Kebesaran Diraja agak meloyakan. Adakah mereka dan pihak relevan tidak perasaan atau hanya mengabaikannya? Saya dan rakan saya semasa berjalan di sana, menghidu bau yang kurang menyenangkan itu dengan jelas namun tidak tahu ia berasal dari mana. Sehubungan itu, saya cadang pihak relevan memantau kebersihan gerai-gerai perayaan, manakala peniaga pula menjaga kebersihan tempat mereka berniaga.
Tegur