Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Bagi memastikan kelancaran Majlis Pembukaan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-12 (KAIB) yang akan berlangsung pada 11 Disember ini, raptai penuh telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.
Hadir bagi menyaksikan sesi raptai penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku penaung Jawatankuasa Tertinggi KAIB 12.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijangka berkenan berangkat bagi merasmikan pembukaan KAIB ke-12 yang akan berlangsung selama dua hari hingga 12 Disember.
Persidangan anjuran KUPU SB selaku tuan rumah dengan kerjasama dan sokongan Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM) Malaysia itu membawa tema utama ‘Ilmu dan Amalan Penentu Kebitaran Ummah’ di samping 12 sub tema perbincangan.
Satu kertas perdana, enam kertas ucaptama dan 82 kertas kerja akan dibentangkan sepanjang dua hari konferensi diadakan.
Bagi memeriahkan lagi konferensi berkenaan, Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) ke-2 juga akan diadakan dengan tema ‘Memperkasa Pasaran Halal Borneo’.
Pameran tersebut bakal menyatukan sebanyak 56 syarikat, usahawan dan pengeluar produk halal di Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan bagi mempromosikan produk seperti makanan, minuman, kosmetik, farmaseutikal, perkhidmatan, pelancongan, kewangan, kesihatan, fesyen tekstil, bioteknologi dan herba.
