Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paolini mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis

    PARIS, 28 MEI – Jasmine Paolini mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis hari ini, sementara Iga Swiatek meneruskan usahanya untuk merangkul gelaran Roland Garros keempat berturut-turut. Dua pemain pilihan utama lain, Aryna Sabalenka dan Carlos Alcaraz, turut beraksi.

    Paolini, naib juara tahun lalu, mudah menewaskan Ajla Tomljanovic 6-3, 6-3 untuk melebarkan rekod kemenangan kepada lapan perlawanan berturut-turut selepas menjulang kejuaraan Terbuka Itali awal bulan ini.

    “Ada sedikit turun naik, tapi saya gembira kerana menang,” kata Paolini, pilihan keempat kejohanan, yang akan menentang sama ada pemain Rusia, Anastasia Potapova, atau wakil Ukraine, Yuliia Starodubtseva pada pusingan seterusnya.

    Juara Olimpik, Zheng Qinwen, turut melangkah ke kelompok 32 terakhir selepas menang 6-2, 6-3 ke atas pemain Colombia, Emiliana Arango.

    Bintang dari China itu bakal menentang seorang lagi pemain baharu dalam saingan Grand Slam, iaitu remaja berusia 18 tahun dari Kanada, Victoria Mboko.

    Sementara itu, pemain nombor satu Poland, Swiatek, kini berusaha menjadi wanita pertama memenangi empat gelaran Terbuka Perancis berturut-turut sejak Suzanne Lenglen melakukannya 102 tahun lalu.

    Swiatek tiba di Paris dengan sedikit keraguan kerana tidak berjaya mara ke final WTA sejak memenangi Coupe Suzanne Lenglen tahun lalu.

    Namun, pemain berusia 23 tahun itu, yang kini jatuh ke tangga kelima dunia, membuka kempen dengan kemenangan straight set ke atas Rebecca Sramkova. – AFP

    Aksi Paolini semasa perlawanan perseorangan wanita pada hari ke-4 kejohanan tenis Terbuka Perancis kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda