ROM, 18 MEI – Jasmine Paolini mencipta sejarah kelmarin dengan memenangi kejohanan Terbuka Itali, menewaskan Coco Gauff 6-4, 6-2 untuk meraih gelaran 1000 siri keduanya menjelang Roland Garros akhir bulan ini.
Paolini, yang turut menang di Dubai tahun lalu, merupakan wanita Itali pertama memenangi kejohanan Rom sejak Raffaella Reggi pada 1985 selepas menewaskan bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) Gauff dalam straight set.
Pemain berusia 29 tahun yang sangat popular itu menghiburkan penonton di gelanggang utama Foro Italico dengan memenangi yang pertama daripada tiga gelaran berpotensi untuk pemain tempatan pada acara tahun ini di ibu negara Itali.
Selepas mencapai dua pusingan akhir Grand Slam tahun lalu, Paolini dijangka naik ke tangga keempat dunia esok dan akan berusaha untuk lebih cemerlang di Paris selepas kejohanan di tempat sendiri.
“Setiap kali saya melangkah ke gelanggang, saya cuba bermain dengan penuh semangat, kegembiraan dan tenang, ” kata Paolini kepada media.
Sebahagian penonton dilihat menitiskan air mata menyaksikan detik bersejarah tersebut yang disifatkan Paolini sebagai ‘minggu impian’ yang belum berakhir, kerana dia masih boleh memenangi kedua-dua kejohanan perseorangan dan beregu wanita.
Dia kini berpeluang menggandakan kejayaan apabila bakal beraksi dalam final beregu wanita bersama rakan senegara, Sara Errani, menentang gandingan Veronika Kudermetova dan Elise Mertens, hari ini.
Paolini dan Errani, yang juga memenangi emas Olimpik pertama Itali dalam tenis di Paris tahun lepas, akan menjadi pemain pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan beregu di Rom. – AFP
