SINGAPURA, 4 MEI – Parti pemerintah lama Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP), mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang berlangsung semalam, memberikan mandat jelas kepada Perdana Menteri Lawrence Wong untuk memimpin negara itu menangani cabaran ekonomi global yang kian memuncak.
Wong yang memimpin PAP memperoleh 65.57 peratus daripada lebih 2.4 juta undi dan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen. Keputusan itu sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk memimpin republik berorientasikan perdagangan itu berdepan kesan dasar tarif yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Rakyat Singapura telah memberikan mandat yang kukuh kepada PAP untuk mentadbir,” kata Wong pada sidang media selepas keputusan rasmi diumumkan.
“Keputusan ini akan meletakkan Singapura pada kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi dunia yang bergolak ini,” tambah beliau, menyifatkannya sebagai isyarat jelas tentang ‘kepercayaan, kestabilan dan keyakinan terhadap kerajaan awda.’
Pilihan raya tersebut merupakan ujian pertama Wong sejak mengambil alih jawatan tahun lalu daripada Lee Hsien Loong anak kepada pengasas negara, Lee Kuan Yew yang memerintah Singapura sejak berpisah dengan Malaysia pada 1965.
Walaupun PAP sering dikritik kerana menyekat perbezaan pendapat, parti itu tetap menjadi pilihan utama rakyat kerana kejayaan membangunkan negara itu secara berterusan.
Populariti Wong yang meningkat selepas mengetuai pasukan petugas COVID-19 turut dilihat sebagai faktor kemenangan besar kali ini.
Wong sebelum ini memberi amaran bahawa Singapura akan terkesan sekiranya AS melaksanakan tarif ke atas kebanyakan negara dan menegaskan keperluan negara kekal terbuka serta berdaya saing. Beliau turut menyatakan penstrukturan semula ekonomi mungkin diperlukan bagi menangani kesan jangka panjang.
Pemerhati politik dan bekas editor kanan, P N Balji berkata kempen agresif oleh Wong dan bekas PM Lee Hsien Loong telah membantu kemenangan tersebut. – AFP
