Papa Zola The Movie, filem animasi terbaharu di Malaysia, akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara itu pada 11 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak dalam kenyataan berkata filem itu ialah kerjasama antara MONSTA, Astro Shaw dan FINAS, menjanjikan gabungan jenaka, aksi dan emosi yang mendalam di wayang gambar.
Bagi memulakan kira detik, treler rasmi filem itu akan ditayangkan buat kali pertama menerusi saluran YouTube MONSTA pada 8 malam, 8 November.
“Penonton kami membesar bersama-sama BoBoiBoy dan Papa Zola. Kini, ramai daripada mereka sudah dewasa dan menjadi ibu bapa. Kisah ini melangkaui jenaka kerana memaparkan kasih sayang, pengorbanan dan belajar melindungi perkara yang paling penting,” katanya.
Bagi meraikan tayangan filem itu, Nizam berkata MONSTA akan melancarkan barangan eksklusif Papa Zola dengan kerjasama beberapa jenama isi rumah terkenal, sebuah koleksi edisi terhad buat para peminat.
Menambahkan lagi keterujaan itu, MONSTA juga akan menganjurkan kempen Papa Zola The Movie Run, iaitu ‘Kebena-RUN’, yang akan diadakan semasa KL Car Free Day pada 7 Disember, mengajak seluruh keluarga ke acara pagi penuh bertenaga, menjelang tayangan perdana itu.
Menerusi hantaran Facebook baru-baru ini, Nizam turut menunjukkan sedutan beberapa tayangan akan datang termasuk Papa Delivery, sebuah animasi pendek baharu dan BoBoiBoy: Watak Sampingan, yang membawa kepada debut filem berkenaan. – Bernama


