Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Papan hitam bentuk labu

    Oleh Amri HTZ

     

    NOTA merupakan perkara penting yang boleh mengingatkan kita akan sesuatu perkara atau acara penting. Walaupun pada zaman moden ini penyimpanan nota sering kali disimpan di dalam telefon bimbit atau peralatan elektronik yang serba canggih, kadang-kadang kita terlepas pandang mengenainya.

    Bagi menggelakkan perkara ini terjadi, memiliki papan hitam merupakan alat konvensional yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri seseorang bagi mengingatkan tentang sesuatu perkara atau acara yang akan datang. Beberapa langkah mudah perlu dilakukan bagi merekanya sendiri.

    Barang-barang yang diperlukan

    Bagi mereka papan hitam berbentuk labu ini, beberapa peralatan dan barang-barang yang diperlukan seperti mesin jigsaw, gunting, pen atau pensel, papan lapis lebih kurang 25 inci, cat sembur primer, cat khas papan hitam (biasanya dijual dalam bentuk cat sembur atau cat berus), kertas pasir berukuran 200-300 grit, tali atau magnet dan templat bentuk labu (boleh menggunakan bentuk yang diminati).

    Langkah-langkah yang perlu diambil

    Pada langkah pertama, lakar rajah buah labu atau gunakan templat yang boleh didapati secara percuma melalui Internet. Jika anda memilih untuk menggunakan templat, potong bahagian luar lakaran labu dan lekatkan menggunakan pita perekat pada papan lapis yang telah disediakan. Pastikan papan lapis yang digunakan (jika menggunakan papan lapis terpakai) bebas daripada bahan-bahan minyak kerana ditakuti cat yang akan di sembur nanti tidak melekat atau mudah mengelupas.

    Papan hitam berbentuk buah labu begitu mudah untuk merekanya.
    Papan hitam berbentuk buah labu begitu mudah untuk merekanya.

    MPDIY LOGO

    Templat berupa buah labu diperlukan bagi melakar bentuk tersebut.
    Templat berupa buah labu diperlukan bagi melakar bentuk tersebut.
    Beberapa peralatan dan barang-barang yang diperlukan dalam proses pembuatannya.
    Beberapa peralatan dan barang-barang yang diperlukan dalam proses pembuatannya.

    Setelah melekatkan templat berbentuk labu, lakar bahagian luar templat tersebut menggunakan pen atau pensel (pilih yang mudah bagi anda untuk melihat). Kemudian, tanggalkan semula templat yang telah dilekatkan di mana lakaran luaran yang boleh dilihat dengan jelas bolehlah mula dipotong menggunakan mesin jigsaw. Gunakan mata bilah jigsaw jenis extra-clean cut khas untuk kayu agar papan lapis yang dipotong kurang menghasilkan permukaan yang terbelah atau kurang rata.

    Manakala pada langkah ketiga, setelah memotong papan lapis kepada bentuk yang diminati, gosok bahagian yang telah dipotong menggunakan kertas pasir berukuran 200 ke 300 grit dengan berhati-hati dan menumpukan perhatian pada kawasan yang tajam atau tidak rata. Setelah itu, gosok keseluruhan permukaan papan lapis bagi memastikan ia rata dan memudahkan cat untuk melekat.

    Pada langkah keempat, semburkan cat primer pada permukaan depan dan belakang papan lapis tersebut dengan dua lapisan di mana lapisan pertama secara nipis, manakala pada lapisan kedua untuk menutup kesemua permukaan. Berikan masa 10 hingga ke 15 minit bagi setiap semburan. Setelah lapisan kedua cat mengering, kira-kira selama 30 minit (tertakluk kepada suhu tempat), gosok permukaan papan lapis dengan menggunakan kertas pasir berukuran 300 grit. Langkah ini adalah bagi memastikan tidak terdapat permukaan tidak rata atau terdapat serpihan kayu yang terdapat pada permukaan sekali gus mencacatkan papan hitam tersebut.

    Penggunaan mata bilah jigsaw biasa akan banyak menghasilkan potongan yang tidak kemas.
    Penggunaan mata bilah jigsaw biasa akan banyak menghasilkan potongan yang tidak kemas.
    Mata bilah Extra-clean jigsaw yang menghasilkan potongan yang sangat kemas.
    Mata bilah Extra-clean jigsaw yang menghasilkan potongan yang sangat kemas.
    Lakar bahagian luar dan potong menggunakan mesin jigsaw.
    Lakar bahagian luar dan potong menggunakan mesin jigsaw.
    Haluskan permukaan yang tidak rata sebelum memulakan proses mengecat.
    Haluskan permukaan yang tidak rata sebelum memulakan proses mengecat.
    Papan hitam berbentuk buah labu boleh digantung menggunakan tali atau hanya menggunakan magnet.
    Papan hitam berbentuk buah labu boleh digantung menggunakan tali atau hanya menggunakan magnet.

    Setelah memastikan keseluruhan permukaan bebas daripada cebisan kayu atau sebagainya, papan lapis tersebut bolehlah mula disemburkan dengan cat khas papan hitam yang boleh didapati di pasaran.

    Lakukan langkah yang sama dengan menyemburkan lapisan pertama dengan nipis dan biarkan lebih kurang 10 ke 15 minit dan kemudian semburkan lapisan kedua dengan meliputi keseluruhan permukaan (depan dan belakang).

    Pada langkah terakhir, pada bahagian belakang papan hitam tersebut, anda boleh memilih untuk melekatkan magnet ataupun hanya dengan menggunakan tali yang ditebuk pada bahagian atas. Jika anda menggunakan magnet, pastikan magnet yang digunakan kuat untuk menahan dan menggantungkan papan itam pada permukaan yang terbuat daripada besi.

    Jika anda memilih untuk menggunakan tali, tebuk dua lubang berasingan pada bahagian atas papan itam tersebut dan ikatkan tali dengan hanya menyimpul bahagian hujung tali tersebut. Sekarang papan hitam berbentuk labu anda sedia untuk digunakan dan anda hanya memerlukan kapur untuk menulis atas permukaannya!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda