Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Papan pemotong mini

    MEMOTONG pelbagai jenis makanan untuk persediaan sambutan perayaan atau sesuatu keraian setentunya memerlukan papan pemotong yang berbeza-beza. Ini bagi memastikan makanan yang akan dihidangkan tidak bercampur rasa dengan makanan yang lain. Untuk merekanya merupakan proses yang amat mudah dengan hanya perlu menggunakan kayu yang diguna semula.

    Barangan yang diperlukan

    Bagi mereka papan pemotong mini ini, peralatan yang diperlukan ialah mesin pemotong kayu, mesin ketam meja atau tangan, pengepit kayu, gam kayu,

    Langkah dalam proses pembuatan

    Pada langkah pertama pembuatan, potongkan lebihan kayu yang dimiliki menjadi 1’’ x 1’’ atau 2’’ x 2’’ tertakluk kepada saiz yang dirasakan sesuai memandangkan kayu yang digunakan merupakan kayu yang digunakan semula atau lebihan kayu daripada projek-projek sebelumnya. Pilih kayu yang mempunyai dua warna yang berbeza bagi membezakan atau menampakkan cantuman yang direka.

    Bagi anda yang tidak memiliki kayu yang berbeza dari segi warnanya, anda boleh menggunakan beberapa teknik untuk membezakan warna kayu tersebut. Bagi menjadikan warna permukaan kayu nampak lebih tua atau lama, gunakan air perahan lemon yang masih segar dengan menyapukan dengan beberapa lapisan apabila ia mengering. Selain itu, permukaan kayu juga boleh disapu menggunakan baking soda bagi memberikan ira kayu yang lebih mengelap dan menyerlah.

    Perlu diingatkan bahawa kayu-kayu yang digunakan perlulah kayu yang bebas daripada bahan minyak. Ini adalah bagi memastikan kayu yang dicantumkan akan melekat selain untuk keselamatan sendiri memandangkan papan pemotong tersebut akan digunakan untuk memotong makanan. Selain itu pastikan kayu yang digunakan bebas daripada serpihan besi daripada paku atau ubat stapler. Ini bagi memastikan mesin pemotong anda tidak akan rosak selain risiko serpihan besi terpelanting ketika membuat pemotongan.

    Kepingan kayu perlu disapukan gam kayu dan dikepit.
    Setelah gam mengering permukaan kayu perlu diratakan sebelum proses seterusnya.

    Permukaan kayu yang telah diratakan menggunakan ketam.
    Corak papan catur yang telah siap direka dijadikan sebagai papan pemotong.

    Setelah memotong lebihan kayu tersebut menjadi ukuran 1’’ x 1’’ dengan panjang lebih kurang satu kaki, cantumkan kesemua potongan kayu tersebut dengan menyapukan gam kayu pada keseluruhan permukaan sudut cantuman. Kemudian, tahankan cantuman dengan menggunakan pengepit kayu. Berikan tekanan yang kuat pada sudut cantuman bagi memastikan struktur cantuman kukuh. Pastikan setiap kayu diselang-selikan dengan kayu yang berbeza. Ini bagi memberikan bentuk yang lebih unik pada papan pemotong tersebut.

    Apabila gam kayu telah mengering, potong kayu tersebut dengan membalas arah cantuman kayu untuk membentuk gaya permukaan papan catur. Potongkan sebanyak tujuh potongan kayu. Kesemua potongan kayu tersebut perlu dicantumkan semula dengan melakukan proses yang sama dengan cantuman sebelumnya. Cuma pada kali ini anda perlu bijak menyelangkan warna kayu agar membentuk seperti permukaan papan catur. Kepit kayu dengan ketat bagi memastikan sudut cantuman kukuh dan tidak mudah tertanggal.

    Setelah gam mengering, kini tiba masanya anda meratakan permukaan papan pemotong dengan menggunakan ketam. Langkah yang agak mencabar ini mungkin tidak terasa apabila menggunakan mesin ketam.

    Pastikan anda mengubah kedalaman pemotongan kayu pada tahap minimum (satu hingga dua milimeter setiap langkah) bagi memastikan kayu yang diketam rata dan licin.

    Jika anda mengubah kedalaman pemotongan pada tahap yang terlalu tebal, ini akan merisikokan mata mesin ketam menjadi rosak, daya tahan motor mesin dan permukaan kayu mungkin menjadi tidak rata atau pecah.

    Bagi anda yang tidak memiliki mesin ketam, ia bukanlah satu masalah besar. Meratakan dan melicinkan permukaan papan pemotong boleh dilakukan dengan alat ketam secara manual. Pastikan ketam yang digunakan sangat tajam kerana proses meratakan kayu dengan permukaan ira kayu bertentangan (cross cutting) agak sukar diratakan jika mata ketam tumpul.

    Setelah meratakan permukaan papan pemotong tersebut, kini anda boleh melakukan proses menyapu lapisan perlindungan untuk kayu tersebut. Gunakan beberapa lapisan beeswax untuk permukaan papan pemotong tersebut memandangkan ia bebas daripada bahan toksik dan tidak memudaratkan jika terkena makanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda