Dunia kita yang kini semakin moden dan penuh dengan kecanggihan teknologi telah menjadikan perniagaan dalam talian bertambah rancak sejajar dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi.
Daripada jualan makanan sehinggalah barang keperluan, semuanya saling bersaing, giat mempromosi dengan pelbagai cara untuk mendapatkan pelanggan.
Namun sesetengah penjual ini ada yang takut untuk bersaing dalam perniagaan sehingga menyukarkan para pembeli untuk mengetahui harga dan memilih barang yang hendak dibeli.
Sebagai contoh, kebanyakan penjual khuatir memaparkan harga jualan mereka sehingga memerlukan para pembeli untuk menghantar pesanan secara privasi.
Namun kenapa peniaga berbuat demikian? Adakah takut barang yang dijual itu lebih mahal daripada peniaga lain? Walhal kita sudah mengetahui itulah adat jual beli, di mana persaingan sihat perlu ada dalam perniagaan, namun kita sepatutnya ingat bahawa bagaimana sekalipun cara kita menjual sama ada dengan harga lebih murah, kualiti barang lebih baik dan sebagainya, yakinlah dengan rezeki dikurniakan Allah SWT.
Sesetengah penjual dalam talian ini, apabila ditanya harga sahaja sudah menganggap pembeli sudah sah membeli barangan tersebut, padahal pembeli baru bertanyakan harga dan ada yang lebih teruk lagi, si penjual pula memaki pembeli dan menganggap membazir waktu mereka dengan melayan kerenah pembeli.
Secara munasabahnya adalah elok setiap penjual tidak kira kedai mahupun dalam talian perlu memaparkan harga jualan bagi mengelak agenda penipuan dan sebagainya. Jadi saya secara peribadi menyarankan agar peniaga-peniaga dalam talian supaya memaparkan harga setiap barang yang dijual bagi memudahkan pembeli.
Rosnafi Ahmad










