Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Dalam memberikan gambaran keseluruhan tentang pembangunan landskap pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Pendidikan telah melancarkan Laporan TVET Brunei Darussalam 2019, yang pertama seumpamanya dihasilkan.
Pelancaran laporan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Penerbangan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Objektif utama laporan itu adalah untuk mengetengahkan isu dan cabaran yang berkaitan dengan sistem TVET serta kesannya terhadap kebolehkerjaan graduan di samping pengaruhnya dalam menyediakan tenaga kerja di negara ini.
Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh dalam ucapannya selaku penasihat Laporan TVET Brunei Darussalam 2019, antara lain berkata bahawa tahun ini menandakan 50 tahun penubuhan TVET rasmi di Negara Brunei Darussalam.
Sepanjang tempoh itu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah melabur secara meluas dan konsisten dalam sektor TVET bagi memastikan akses pendidikan dan pengembangan kemahiran yang sama bagi semua rakyat negara ini.

Menurut beliau, laporan yang dilancarkan berkenaan memaparkan keseluruhan pembangunan landskap sektor TVET di Negara Brunei Darussalam.
Sebelum pembangunan laporan itu, jelas beliau, maklumat mengenai TVET di Brunei terbatas dan terdapat keperluan mendesak untuk menetapkan petunjuk asas yang bukan sahaja membolehkan pihak berkepentingan untuk memperluas pemahaman mereka ke sistem TVET di Brunei tetapi juga memberi kesedaran untuk menyokong TVET dan kemahiran masa depan pembangunan yang diperlukan oleh negara.
Beliau menambah, menjadi harapan Kementerian Pendidikan agar pihak-pihak berkepentingan dapat memanfaatkan banyak informasi yang disajikan dan menarik pandangan daripada laporan berkenaan untuk membantu memperkuatkan peranan TVET dalam mengembangkan modal insan yang berkualiti terutama dalam hubungan pendidikan dan pekerjaan.
Selepas pelancaran laporan berkenaan, majlis disusuli dengan tayangan klip video yang menerangkan mengenai rumusan isi kandungan laporan tersebut.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menyampaikan laporan berkenaan kepada beberapa pihak berkepentingan yang memainkan peranan dalam memperkembangkan TVET di negara ini.
Majlis juga menyaksikan Yang Berhormat Dato menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa kerja, penyunting-penyunting dan pereka bentuk buku berkenaan sebagai tanda kenangan dan penghargaan dalam menghasilkan buku laporan tersebut.
Yang Berhormat Dato dan para jemputan seterusnya menyaksikan pameran mini yang memaparkan kandungan yang terdapat di dalam buku laporan itu.
Laporan tersebut juga boleh didapati menerusi laman sesawang Kementerian Pendidikan, http://www.moe.gov.bn.