BANDAR SERI BEGAWAN, 2017 – Bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Pandai Besi ‘A’ dan Kampung Lurong Dalam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), telah menganjurkan acara ‘Kami Peduli’ bagi mengutip derma.
Ini merupakan minggu ketiga DBP mengadakan acara berkenaan di ibu negara dengan jualan buku, melukis karikatur dan melukis muka dengan inisiatif yang berlainan diadakan setiap minggu.
Minggu ketiga ini diadakan ‘Paperman’ bagi tarikan orang ramai untuk menderma ke tabung berkenaan, manakala itu, minggu sebelumnya mereka menggunakan tarikan ‘Gold Artist Man’ dan dua minggu yang lalu mereka mengadakan jualan minuman sambil menderma.
Inisiatif yang unik berkenaan merupakan kreativiti yang dibuat oleh Pelukis Tingkat Dua, Dewan Bahasa dan Pustaka, Haji Mahaddi bin Haji Mat Zain yang juga dikenali sebagai Adizain.
Dalam temu bual bersama Media Permata, beliau menjelaskan bahawa beliau mengambil bahan-bahan yang mudah atau bahan kitar semula sebagai mengambil pendekatan bagi mendapatkan 100 peratus pendapatan bagi tabung amal dengan hanya memerlukan idea dan aksi yang mudah. Beliau memberikan contoh seperti menggunakan cat emas bagi menjadi ‘Gold Artist Man’ dan bahan kitar semula seperti surat khabar untuk menjadi ‘Paperman’.
Menurutnya inisiatif-inisiatif berkenaan adalah sesuatu yang mudah, yang mereka kongsikan dan memberikan manfaat. Katanya, beliau juga ingin mengekalkan idea menggunakan modal yang rendah tetapi memberikan impak besar kepada masyarakat dengan menggunakan bahan-bahan yang lain daripada yang sebelum ini.
“Saya tidak pernah berasa malu untuk beraksi, malah menganggap perkara berkenaan sebagai transformasi seni yang saya ceburi, yang juga sebahagian daripada ‘art performance’, tegasnya.
Semangat ‘Kami Peduli’, tambah beliau lagi, bukanlah mencari keuntungan, akan tetapi bersemangat untuk ikut membantu meringankan beban dengan cara yang mampu dan kreativiti yang ada. Selain daripada membantu mengutip derma, ia juga merupakan salah satu usaha bagi menceriakan lagi Program Bandarku Ceria yang diadakan setiap Ahad di Bandar Seri Begawan.
“Saya berharap orang ramai akan dapat sama-sama mengambil pendekatan yang lebih positif, untuk turun di Bandarku Ceria, bagi tujuan mensejahterakan kehidupan, menceriakan hubungan, keseronokan beriadah dengan melakukan kreativiti yang sihat dan bermanfaat serta mendatangkan kebajikan bermasyarakat yang ‘Kami Peduli’,” jelasnya.