Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Menjelang Konsert SMARTER ke-5 yang akan diadakan pada akhir bulan September nanti, pelajar Perubatan Tahun 3 Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menganjurkan kempen mengutip dana bermula dari 1 hingga 4 ogos ini.
Kempen tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan barangan terpakai seperti pakaian, aksesori, permainan, barangan elektrik, buku dan perabot bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang.
Kesemua barangan yang dikumpulkan itu nanti akan dijual pada acara jualan garaj semasa Program Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada 12 Ogos dan di Kelab Tennis Brunei pada 19 ogos.
Acara tersebut merupakan salah satu usaha bagi mengumpul dana untuk membantu mereka melalui acara berkebajikan melalui konsert muzik ‘Looking Through Autism Wonderland’ anjuran PAPRSB IHS dan SMARTER Brunei.
“Kumpulan ALICE yang bermaksud singkatan daripada ‘Appreciating the Lives of Individuals with Autism and Celebrating Their Excellence’ merupakan kumpulan yang mewakili kerjasama rasmi pertama Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan SMARTER,” kata Dayang Wardatul Ramzuna, salah seorang daripada empat pelajar perubatan Tahun 3 di bawah Kumpulan ALICE.
“Matlamat kami adalah mencari dana untuk konsert yang akan datang dengan kemahiran profesional dan interpersonal kami di kalangan orang awam untuk meningkatkan kesedaran dan membetulkan salah tanggapan terhadap autisme dalam komuniti,” tambahnya.
Dalam pada itu, bagi mengetahui lebih lanjut mengenai konsert muzikal SMARTER tersebut, bolehlah menghubungi terus dengan menghantar emel kepada wonderlandautism@gmail.com