SINGAPURA, 31 Jan – Para pemimpin Singapura mengucapkan tahniah kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mengangkat sumpah hari ini sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang baharu.
Presiden Halimah Yacob,dalam perutusan tahniahnya berkata, “Bagi pihak rakyat Republik Singapura, saya ingin memanjangkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka pada istiadat yang gemilang di atas perisytiharan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Seri Paduka begitu dihormati ramai atas kemurahan hati dan mengambil berat kebajikan rakyat Malaysia dari semua peringkat kehidupan. Saya yakin di bawah pemerintahan Seri Paduka, Malaysia akan terus menikmati kemakmuran dan kemajuan,” katanya.
Halimah berkata Malaysia dan Singapura menikmati sejarah persahabatan dan kerjasama yang lama hasil ikatan yang kukuh antara rakyatnya.
“Saya mengalu-alukan kerjasama erat dengan Seri Paduka bagi mengukuhkan lagi hubungan duahala antara kedua-dua negara.
Suami dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong agar dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan,” katanya.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dalam perutusan tahniahnya berkata, ” Bagi pihak Kerajaan Singapura, saya ingin memanjangkan ucapan tahniah tidak terhingga kepada Seri Paduka yang melafazkan sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16.
“Dengan kebijaksanaan dan rahmat Seri Paduka, saya yakin Malaysia akan terus lebih maju dan berjaya”.
Lee menyatakan bahawa Malaysia dan Singapura berkongsi sejarah yang lama dan unik yang dibina atas hubungan erat antara rakyat dan kerjasama bagi faedah bersama di dalam banyak sektor.
“Kita juga bekerjasama baik dalam peringkat serantau dan antarabangsa.” – Bernama