BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Para Profesional Kesihatan Bersekutu di negara ini khususnya yang separa kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta diingatkan untuk mendaftar dengan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Negara Brunei Darussalam melalui Pejabat Pengurusan Lembaga-lembaga, Kementerian Kesihatan mulai 1 Januari 2018 hingga 30 Mac 2018.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, di sini, ia adalah bagi mengikut perlaksanaan Perintah Profesion Kesihatan Bersekutu Negara Brunei Darussalam 2017 yang telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2017 yang bertujuan untuk menjaga kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan orang awam.
Perlaksanaan perintah itu akan menaik taraf Profesion Kesihatan Bersekutu di Negara Brunei Darussalam setara dan memenuhi piawaian antarabangsa bagi memastikan keselamatan para pesakit dan tahap penjagaan kesihatan yang tinggi.
Perintah ini juga memastikan para Profesional Kesihatan Bersekutu yang berdaftar adalah kompeten dan cekap dalam melaksanakan bidang tugas masing-masing.
Sebanyak 19 Profesion Kesihatan Bersekutu daripada pelbagai bidang akan dikawal selia dalam perintah tersebut, iaitu bidang Audiologi; Klinikal Psikologi atau Psikologi; Makmal Klinikal Sains (Clinical Laboratory Science) atau Makmal Saintifik (Scientific Laboratory Science); Dietetik; Promosi Kesihatan; Prostetik dan Teknologi Maksilofasial (Maxillofacial Prosthetic and Technology); Kebajikan Perubatan (Medical Social Work); Pemakanan (Nutrition); Pemulihan Cara Kerja (Occupational Therapy); Optometri atau Optisiantri (Optometry or Opticianry); Ortoptik (Orthoptics); Paramedik; Fisioterapi atau Pemulihan Anggota; Podiatri; Prostetik dan Ortotik; Kesihatan Awam; Diagnostik Radiografi atau Terapeutik Radiografi (Diagnostic Radiography or Therapeutic Radiography); Pemulihan Pertuturan dan Bahasa atau Patologi Pertuturan (Speech and Language Therapy or Speech Pathology) dan Kesihatan Pendengaran (Teaching of Hearing Impairment).
Sehubungan itu, para Profesional Kesihatan Bersekutu bolehlah mendapatkan borang pendaftaran dan memuat turunnya melalui pautan ke laman sesawang Kementerian Kesihatan (http://www.moh.gov.bn/SitePages/AHPCBD.aspx).
Borang yang telah lengkap diisi bersama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan hendaklah dihantar ke Pejabat Pengurusan Lembaga-lembaga, di Tingkat 2, Kementerian Kesihatan, Jalan Commonwealth Drive, Negara Brunei Darussalam.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Kementerian Kesihatan melalui e-mel ahp.council@moh.gov.bn atau Talian Darussalam 123 atau di talian 2381640 sambungan 7632.