Monday, March 31, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Para ‘saintis’ dadah ditahan

    IPOH, 7 JULAI – Enam individu termasuk dua beradik ditahan disyaki menjadikan sebuah premis di Jelapang di sini sebagai makmal memproses dadah, dalam serbuan pada Rabu lepas.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua lelaki berusia lingkungan 32 hingga 57 tahun itu ditahan pada 3 pagi oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

    “Hasil pemeriksaan di premis itu menemukan dadah jenis Methamphetamine seberat 155 gram, heroin dianggar seberat 52.3 gram serta cecair disyaki Methamphetamine dianggar sejumlah 47.5 liter, kesemuanya dianggar berjumlah RM672,649,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata polis turut merampas sejumlah bahan kimia dan peralatan yang disyaki digunakan untuk memproses dadah, sebuah lori serta empat motosikal yang dianggar bernilai RM76,000. 

    Katanya hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif terhadap dadah jenis Methamphetamine dan morfin selain memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Menurut Mohd Yusri sindiket tersebut mula aktif dalam aktiviti memproses dadah sejak awal tahun ini manakala dadah berkenaan mampu digunakan kira-kira 180,000 penagih di sekitar negeri ini.

    Beliau berkata kesemuanya direman hingga Selasa depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tiga, kiri) menunjukkan rampasan dadah serta bahan-bahan kimia dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda