Friday, September 27, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Para SUKMA: Azlan gondol dua emas

    KUCHING, 26 SEPT – Atlet powerlifting Malaysia, Azlan Mos menepati ramalan dan terus mempamerkan aksi cemerlang di pentas Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 apabila berjaya memecahkan rekod temasya serta kebangsaan dengan angkatan 171 kilogram (kg) bagi kategori lelaki bawah 65kg, hari ini.

    Anak jati Bumi Kenyalang dari Sebuyau itu memadam rekod 170kg yang dilakukan atlet Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin pada edisi Para SUKMA 2018 di Perak, sekali gus menggenggam emas bagi angkatan terbaik selepas percubaan ketiganya.

    Atlet berusia 33 tahun berkenaan sebelum ini mengangkat 150kg, 155kg dan 160kg untuk menyapu emas keduanya dengan jumlah angkatan keseluruhan 465kg di Kompleks Belia dan Sukan yang bergema dengan sorakan kuat daripada penyokong tuan rumah.

    Peserta Perak, Muhammad Akmal Danish Mohamad merangkul pingat perak pada angkatan ketiga terbaik (143kg) dengan jumlah keseluruhan angkatan 425kg, manakala Muhammad Syalqi Mohd Shikri dari Perlis (116kg, 333kg) meraih gangsa.

    Ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, Azlan yang dibimbing Majlis Sukan Negara (MSN) sejak tahun lepas berkata beliau sememangnya menanam hasrat untuk memecah rekod Bonnie yang sudah pun dianggap sebagai mentornya sendiri. – Bernama

    Azlan Mos memenangi pingat emas acara powerlifting tidak melebihi 65 kilogram pada temasya SUKMA Sarawak 2024, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda