Saturday, November 16, 2024
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paraguay kejutkan Argentina

    MONTEVIDEO, 15 NOV – Juara dunia, Argentina mengalami kekalahan 2-1 kepada Paraguay, manakala seteru mereka, Brazil terikat 1-1 dengan Venezuela ketika pasukan besar dari Amerika Selatan bergelut dalam kelayakan Piala Dunia CONMEBOL kelmarin.

    Perlawanan bermula dengan baik untuk anak buah Lionel Scaloni, yang juga juara bertahan Copa America, apabila mereka mendahului awal menerusi penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez.

    Enzo Fernandez melambungkan bola cantik melepasi pertahanan Paraguay ke arah Martinez, yang melakukan penyudah rendah, tetapi sambutannya terhenti apabila pengadil garisan mengangkat bendera.

    Tetapi semakan VAR mendapati bahawa Martinez berada dalam kedudukan onsaid dan membatalkan keputusan ofsaid di atas padang, memberikan Argentina kelebihan pada minit ke-11.

    Kelebihan itu bagaimanapun hanya bertahan selama lapan minit apabila pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan dengan cara yang menakjubkan.

    Aksi Messi (kiri) semasa perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 di stadium Ueno Defensores del Chaco di Asuncion pada 14 November. – AFP

    Gustavo Velazquez menghantar bola lintang dan Antonio Sanabria merembat untuk menewaskan Emiliano Martinez dengan sepakan yang cantik.

    Dipenuhi keyakinan dan disemarakkan oleh sorakan penonton di Asuncion, Paraguay berjuang dengan gigih dalam perlawanan yang berlangsung dengan penuh sengit.

    Dua minit selepas babak kedua bermula, Omar Alderete menjaringkan gol yang terbukti sebagai gol kemenangan.

    Dia melompat untuk menanduk masuk hantaran lintang daripada pemain tengah Inter Miami, Diego Gomez.

    Argentina mengalami kesukaran untuk mencipta peluang dengan Lionel Messi sebahagian besarnya berjaya dikekang, walaupun pemenang Ballon d’Or lapan kali itu memberikan hantaran lintang kepada Valentin Castellanos tetapi pemain gantian itu gagal menyempurnakan tandukannya.

    Walaupun tewas, Argentina kekal di puncak kedudukan dengan 22 mata manakala Paraguay melangkah ke kedudukan keenam, tempat kelayakan automatik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda