Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN,12 NOV – Majlis Paralimpik Brunei Darussalam (NBD) menyertai program International Paralympic Committee (IPC) Sports for Mobility: Mentoring Hub kali pertama yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, bagi mengucapkan selamat belayar, Presiden Majlis Paralimpik Negara Brunei Darussalam, Ali Yusri bin Abdul Ghafor.
“Penyertaan Majlis Paralimpik NBD merupakan peluang terbaik kita untuk mendalami pengetahuan dan berkongsi idea serta memperkukuh jaringan kerjasama antara negara-negara anggota Paralimpik di rantau ini,” jelas Naib Presiden Majlis Paralimpik Brunei Darussalam, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang yang mengetuai delegasi Majlis Paralimpik NBD.
Katanya, program berkenaan merupakan inisiatif IPC yang bertujuan bagi memperkukuh pembangunan sukan paralimpik melalui perkongsian ilmu, bimbingan dan pembangunan bakat di rantau Asia.
Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Negara Brunei Darussalam, Ali Yusri semasa mengucapkan selamat belayar kepada delegasi Majlis Paralimpik NBD berkata, program berkenaan akan menjadi platform penting dalam memperkukuh rangkaian pembangunan sukan para di peringkat antarabangsa dalam usaha untuk menyokong gerakan Paralimpik global.
Majlis Paralimpik Brunei Darussalam yang akan disertai oleh empat ahlinya akan berhimpun selama tujuh hari bersama-sama perwakilan daripada negara Malaysia selaku tuan rumah.
Turut menyertai program berkenaan, wakil dari negara Kemboja, Laos, Maldives, Myanmar, Hong Kong China dan Timor Leste.
Sepanjang tujuh hari, para peserta akan menyertai pelbagai sesi latihan dan perkongsian termasuk sesi Pengenalan kepada Gerakan Paralimpik dan Kod Klasifikasi IPC serta Pembangunan Bakat dan Pengurusan Kejohanan Sukan Para.
Para peserta juga akan mengadakan lawatan dan meningkatkan pengalaman menyaksikan Kejohanan Sukan Para Tempatan. Selain itu, peserta juga akan mengadakan sesi sosial “Meet and Greet” bagi menggalakkan pertukaran idea serta pembinaan rangkaian profesional antara atlet, pegawai teknikal dan pentadbir sukan.


