Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Parang dan pisau ada kod QR, ciri unik jadi tarikan

    BUKIT GANTANG – Bagi sesetengah pengguna, pisau atau parang dibeli bertujuan sekadar untuk memotong, mencincang dan menghiris sesuatu tanpa menghiraukan maklumat di sebalik peralatan dapur itu.

    Menyedari perkara itu, seorang penempa peralatan besi tampil dengan kelainan seiring teknologi semasa dengan menyediakan kod QR pada setiap bilah pisau dan parang yang dihasilkan bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan informasi berkaitan produk berkenaan.

    Pemilik KH Blade, Hassan Saini Muhammad, 42, berkata pengguna boleh mengimbas kod QR untuk mengetahui tarikh penghasilan, bahan yang diguna pakai, saiz, jenis kayu hulu, warna dan berat pisau atau parang yang dibeli.

    “Maklum balas daripada pembeli kebanyakannya positif dan melalui kaedah (kod QR) ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan jumlah pembeli produk kami di seluruh negara,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Bukit Cempedak di sini.

    Hassan Saini yang berkecimpung selama 10 tahun dalam pembuatan kraf tangan itu berkata beliau mula meletakkan kod QR pada parang dan pisau keluarannya pada
    penghujung 2020 setelah menerima mesin ukiran laser daripada Kraftangan Malaysia.

    Hassan Saini Muhammad menunjukkan kod QR pisau dan parang di bengkel kimpalannya di Kampung Bukit Cempedak. – Bernama
    Mesin laser yang digunakan untuk menampal kod QR pada badan pisau. – Bernama
    Penempa peralatan besi, Hassan Saini Muhammad, 42, menunjukkan jenis besi 760 karbon steel yang dibeli dari Jepun untuk menghasilkan pisau dan parang di bengkel kimpalannya di Kampung Bukit Cempedak. – Bernama
    Hassan Saini Muhammad menunjukkan jenis besi 760 karbon steel yang dibeli dari Jepun untuk menghasilkan pisau dan parang di bengkel kimpalannya. – Bernama

    “Pada awalnya, saya gunakan mesin itu untuk menempa jenama produk pada pisau atau parang tetapi selepas saya meneliti fungsi yang terdapat pada mesin berkenaan, saya dapat tahu yang ia juga boleh digunakan untuk menempa kod QR,” katanya.

    Anak jati kelahiran Bukit Gantang yang mempunyai empat cahaya mata itu berkata mesin ukiran laser berkenaan hanya memerlukan masa kurang tiga minit untuk menempa kod QR pada setiap produk yang dihasilkan.

    Hassan Saini berkata dengan bantuan lima pekerja, beliau mampu menghasilkan kira-kira 300 hingga 350 bilah pisau atau parang pelbagai jenis dalam sebulan bergantung kepada
    permintaan.

    “Semua logam yang digunakan berkualiti tinggi dan diimport dari negara luar seperti Jepun, Sweden dan Austria. Harga jualan kira-kira RM180 hingga RM700 bergantung kepada saiz dan jenis logam digunakan sama ada K110 semi standard steel, 760 carbon steel, D2 high carbon steel atau SUP9A carbon steel.

    “Berdasarkan rekod, permintaan tertinggi adalah pada Aidiladha tahun ini iaitu 350 bilah parang dan pisau terjual dengan jualan melebihi RM50,000,” kata bekas kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu.

    Dalam pada itu, Hassan Saini amat berterima kasih kepada Kraftangan Malaysia dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang banyak memberi bantuan dari sudut kemudahan serta khidmat nasihat sejak awal pembabitannya dalam pembuatan pisau dan parang.

    Mengenai perancangan jangka masa panjang, beliau bercita-cita mahu melebarkan penjualan produk keluarannya ke luar negara dalam tempoh 10 tahun akan datang, bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan tetapi juga memperkenalkan produk tempatan di mata dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...