Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paras air empangan Iran jatuh bawah 3 peratus

    TEHRAN, 9 NOV – Paras air di empangan yang membekalkan bandar Mashhad di timur laut Iran dilaporkan menjunam di bawah tiga peratus, ketika negara itu berdepan krisis kekurangan air yang teruk, lapor media hari ini.
     
    “Paras simpanan air di empangan Mashhad kini telah jatuh ke bawah tiga peratus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Mashhad, Hossein Esmaeilian, kepada agensi berita ISNA.
     
    Mashhad, yang mempunyai kira-kira empat juta penduduk dan merupakan bandar paling suci di Iran, bergantung kepada empat empangan sebagai sumber bekalan airnya.
     
    Esmaeilian berkata, penggunaan air di bandar itu mencecah sekitar “8,000 liter sesaat, dengan kira-kira 1,000 hingga 1,500 liter sesaat dibekalkan daripada empangan.”
     
    Perkembangan itu berlaku ketika pihak berkuasa di Tehran memberi amaran pada hujung minggu tentang kemungkinan gangguan bekalan air secara berperingkat di bandar negara itu semasa berada di tengah-tengah apa yang digelar pegawai sebagai kemarau paling buruk dalam beberapa dekad.
     
    Di Tehran, lima empangan utama yang membekalkan air minuman kini berada pada paras ‘kritikal’, dengan satu empangan telah kering sepenuhnya dan satu lagi hanya tinggal kurang daripada lapan peratus kapasiti, menurut pegawai. 
     
    Presiden Masoud Pezeshkian turut memberi amaran, tanpa hujan sebelum musim sejuk, bahkan Tehran juga mungkin terpaksa dipindahkan, namun beliau tidak menghuraikannya dengan lebih lanjut. – AFP
     
    Gambar fail Masoud Pezeshkian, berucap di parlimen semasa sesi untuk meluluskan pelantikan kabinet barunya di Tehran pada 21 Ogos 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda