Friday, February 7, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paras air Laut Caspian surut, penduduk Turkmenistan dilanda kebimbangan

    TURKMENBASHI – Di pantai Laut Caspian di Turkmenistan – salah satu negara yang paling banyak menyimpan rahsia di dunia – Batyr Yusupov tidak lagi dapat mengangkut penumpangnya antara dua pelabuhan kerana tiada air yang mencukupi.

    “Dahulu saya pergi antara Turkmenbashi dan Hazar,” kata pekerja feri berusia 36 tahun itu mengenai pelabuhan yang terpisah oleh teluk kecil di pantai Turkmenistan.

    “Tetapi kita tidak dapat pergi ke sana selama setahun disebabkan penyusutan yang serius di Laut Caspian,” katanya.

    Sebuah bandar di tepi laut, penduduk tempatan telah menyedari air surut ratusan meter.

    Tetapi itu bukan sahaja mengenai laluan feri atau perlu berjalan lebih jauh untuk berenang dengan betul, bahkan perubahan itu melibatkan ekonomi yang sedang merosot di Turkmenistan.

    Paras air rendah di pusat peranginan Laut Caspian di Turkmenistan di Avaza pada 13 September 2023. – AFP
    Laut Caspian telah menyurut secara mendadak dari tahun ke tahun tanpa sebab yang jelas tetapi saintis percaya bahawa proses yang berlaku secara semula jadi sedang diburukkan lagi oleh perubahan iklim. – AFP
    Pemandangan pelabuhan utama Turkmenbashi, bandar pesisir Laut Caspian terbesar di Turkmenistan, pada 19 November 2023. – AFP
    Gambar AFP

    Dan tahun demi tahun, tahap air semakin berkurangan.

    Masih tidak jelas sepenuhnya sebab ianya berlaku, tetapi para saintis mengatakan ia disebabkan oleh proses semula jadi yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

    Satu kajian pada tahun 2021 meramalkan bahawa menjelang tahun 2100, paras air di Laut Caspian boleh turun sebanyak 8 hingga 30 meter (m).

    Laut Caspian, terletak di dalam benua yang dikelilingi oleh kawasan Kaukasus di sebelah barat dan Asia Tengah di sebelah timur.

    Turkmenistan, sebuah bekas republik Soviet, adalah salah satu daripada lima negara di Laut Caspian bersama Azerbaijan, Kazakhstan, Iran dan Russia. Pada tahap tertentu mereka semua terkesan oleh perubahan ini.

    Di selatan Turkmenbashi, di bandar tepi laut Hazar, imej satelit menunjukkan pantai telah surut sekitar 800m di kedua-dua belah.

    Itu telah mengubah bandar tersebut, menjadi sebuah pulau yang terletak di hujung semenanjung, Berbeza dengan laluan asal dari Hazar ke pelabuhan utama Turkmenbashi, Yusupov kini membawa penumpang ke Gyzylsuw yang terletak di antara kedua-duanya dan Gyzylsuw lebih mudah diakses melalui bot.

    Tetapi walaupun di sana, situasinya tidak jauh berbeza.

    “Jeti baharu sedang dibina kerana yang lama sudah tidak cukup dalam,” kata seorang penduduk tempatan, Aisha, 40 tahun.

    Puluhan bot terbiar memenuhi pantai di Gyzylsuw.

    “Rumah Aisha mempunyai pondok yang melindunginya dari laut, yang kini kelihatan tidak diperlukan. Bahkan semasa ribut, air tidak sampai ke rumah,” katanya.

    Di Turkmenbashi sendiri, bandar pantai terbesar di Turkmenistan mengalami perubahan pada garis pantai yang jelas terlihat oleh perenang.

    “Musim panas lalu, air mencapai bahu saya, kemudian sekitar pinggang saya,” kata seorang perenang tetap, Lyudmila Yesenova, yang berusia 35 tahun.

    “Tahun ini, airnya di bawah lutut saya.”

    Air yang surut mengancam infrastruktur maritim Turkmenbashi, sebuah pelabuhan utama Asia Tengah yang terpenting untuk perdagangan antara Eropah dan Asia.

    Dan di pantai yang bertentangan dengan Laut Caspian terletak Baku, ibu negara Azerbaijan yang kaya dengan sumber minyak.

    Menteri Luar Turkmenistan, Rashid Meredov, mengeluarkan amaran dalam ucapan baru-baru ini.

    “Pada masa ini, paras laut berada pada tahap terendah sepanjang masa pemerhatian instrumental,” katanya pada bulan Ogos.

    “Dalam 25 tahun terakhir, paras laut telah berkurang hampir dua meter,” yang bermakna kesurutan laut sangat ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tambahnya.

    “Laut telah berpindah ratusan meter dari pantai sebelumnya,” katanya. “Di utara Laut Caspian, angka itu lebih tinggi.”

    Negara jiran Kazakhstan, negara terbesar Asia Tengah, menyuarakan beberapa kebimbangan Turkmenistan.

    Tetapi selepas bertahun-tahun pertikaian mengenai kawalan rizab hidrokarbon yang besar di rantau tersebut, kerjasama yang diminta Meredov hanya di peringkat terawal.

    Ilmuwan Turkmen, Nazar Muradov, menyalahkan perubahan paras laut kepada ‘pergerakan tektonik dan fenomena seismik, yang mengubah dasar laut’.

    Katanya paras laut sebelum ini telah turun pada tahun 1930an dan 1980an sebelum meningkat semula. Tetapi perubahan iklim juga perlu diambil kira dalam fenomena ini, tambahnya.

    “Paras laut juga bergantung pada aliran sungai yang tahapnya semakin menurun serta tahap hujan yang rendah dan penyejatan yang intensif.”

    Kazakhstan juga bergantung pada laut untuk industri minyak dan gasnya.

    Penurunan paras air, disertakan dengan peningkatan suhu, juga telah menjejaskan hidupan laut di Laut Caspian, termasuk anjing laut.

    Sebagai tanda dia memandang serius keadaan itu, pemimpin Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev telah mengumumkan bahawa dia mengambil berat penurunan populasi anjing laut di bawah ‘kawalan peribadinya’.

    Beliau juga berkata Kazakhstan akan mencipta institut penyelidikan untuk kajian Laut Caspian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda